KUALA LUMPUR : Penyanyi, Amira Othman meluahkan rasa kesal terhadap budaya buli siber yang disifatkannya semakin melampau, malah tidak wajar dinormalisasikan walaupun terhadap golongan selebriti.
Menurut Amira, dia jarang mengikuti perbincangan di platform Threads kerana merasakan suasana di aplikasi tersebut agak toksik.
Bagaimanapun, masih terdapat peminat yang menghantar semula komen negatif yang melibatkan dirinya.
“Memang saya tidak ambil tahu sangat apa yang berlaku di Threads kerana saya rasa ia sangat toksik. Namun, ada juga peminat yang menghantar semula komen tersebut kepada saya.
“Biasalah, adat menjadi anak seni, ada yang suka dan ada juga yang tidak. Jika seseorang itu tidak menyukai kita, apa sahaja yang kita lakukan tetap tidak akan disenangi,” katanya.
Tambah Amira, dia memilih untuk tidak memberi perhatian kepada komen negatif kerana perkara tersebut hanya akan menjejaskan emosi serta memenatkan fikiran.
“Saya tidak mahu terlalu fokus kepada perkara negatif. Pada akhirnya, yang menyokong kita adalah mereka yang benar-benar menyukai kita. Yang tidak suka itu saya tidak mampu kawal,” ujarnya.
Dalam masa sama, Amira menegaskan bahawa buli siber tidak sepatutnya dipandang ringan walaupun seseorang itu merupakan figura awam.
“Saya rasa isu buli siber ini sudah melampau. Tak semestinya saya diam, saya boleh dibuli. Walaupun seseorang itu menggunakan akaun palsu, ia tetap tidak wajar.
“Kita mungkin figura awam, tetapi kita juga manusia. Kalau mahu menegur tidak menjadi masalah, tetapi gunakanlah bahasa yang baik. Tambahan pula kita mempunyai undang-undang berkaitan buli siber,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Amira mendedahkan bahawa serangan sedemikian bukanlah perkara baharu, malah dia pernah dihina dengan pelbagai kata-kata kesat ketika melakukan siaran langsung di media sosial.
“Ini bukan kali pertama mereka menyerang saya ketika membuat siaran langsung. Pelbagai kata kesat digunakan seperti ‘sundal’, ‘bodoh’ dan macam-macam lagi.
“Saya sendiri tidak sanggup menyebut semuanya, apatah lagi ketika bulan puasa. Saya tidak pernah memberi respons, tetapi jika terlihat komen seperti itu, saya akan terus menyekat akaun tersebut,” katanya.










