Tidak sangka Que Haidar jadi 'abang' saya - Syafiq Kyle - Utusan Malaysia

Tidak sangka Que Haidar jadi ‘abang’ saya – Syafiq Kyle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DULU saya tengok dia buat penggambaran KL Menjerit, sekarang berlakon sekali filem rempit,” 

Demikian kata pelakon, Syafiq Kyle, apabila dipertemukan dengan pelakon senior, Que Haidar sebagai adik-beradik dalam filem aksi permotoran, Malaikat Malam. 

Jelas Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 33, pada awalnya karakter abangnya iaitu Arash masih menjadi tanda tanya dan pihak produksi sedang mempertimbangkan beberapa nama untuk mengisi posisi tersebut.

Bagaimanapun, selepas pemilihan dibuat, penulis dan pengarah filem ini, Nazifdin Nasrudin atau Bujoq merahsiakan siapa yang menggalas watak itu dan hanya diketahui Syafiq semasa hari penggambaran bermula.

“Bujoq merahsiakan watak Arash itu daripada saya. Dia hanya berjanji bahawa pelakonnya adalah seorang nama besar yang hebat,” ujar Syafiq ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini. 

Bercerita mengenai detik melihat Que Haidar melangkah masuk ke set penggambaran, Syafiq mengakui teruja kerana terus teringat kembali memori zaman remajanya yang membesar dengan fenomena filem KL Menjerit sekitar awal 2000-an.

“Waktu sekolah menengah saya ingat lagi pernah tengok penggambaran filem KL Menjerit dekat Kampung Bharu. Ada Que Haidar tengah ‘shooting’. 

“Sekarang kami digandingkan pula bersama dalam filem Malaikat Malam. Saya berterima kasih kepada pengarah, Bujoq kerana memberikan peluang ini,” katanya.

Walaupun Que hanya terlibat dalam penggambaran selama satu hari, impak yang ditinggalkan cukup mendalam. 

Syafiq menyifatkan Que sebagai seorang pelakon yang sangat bersedia, malah kehebatan Que terbukti apabila dia mampu ‘masuk’ ke dalam jiwa Arash, abangnya dalam tempoh at singkat.

“Bayangkan, dia hanya di set sehari sahaja penggambaran untuk watak yang berat. 

“Cuma kami dapatkan keserasian waktu waktu makan-makan sebelum mula penggambaran. Ketika itu pun dia sudah ‘masuk’ menjadi abang saya.

“Dia sudah masuk ke dalam watak Arash,” cerita Syafiq.

Profesionalisme Que Haidar yang tidak membuang masa dan terus memberikan jiwa kepada naskah itu membuatkan Syafiq berasa kerdil namun dalam masa yang sama, sangat beruntung. Beliau mengakui banyak ilmu lakonan yang dikongsi oleh seniornya itu dalam tempoh yang singkat tersebut.

Stigma mat rempit


Sebelum Malaikat Malam menemui penonton lagi sudah ada banyak kritikan mengenai budaya ‘mat rempit’ seolah-olah ada sebilangan individu yang enggan filem dengan tema sebegini diketengahkan.

Syafiq bagaimanapun tidak menafikan bahawa dia juga pada mulanya mempunyai keraguan yang sama. Beliau sedia maklum tentang stigma masyarakat terhadap filem-filem bergenre permotoran di Malaysia yang sering dianggap klise dan kosong pengisiannya.

“Saya ada tanya kepada pengarah, kalau cerita ini setakat cerita motor, lumba, menang, kalah, dan judi, itu sudah biasa. Itulah stigma rempit yang kita nampak di Malaysia selama ini,” katanya.

Bagaimanapun, selepas meneliti skrip naskah tersebut, Syafiq melihat ada ‘suara’ yang ingin disampaikan. 

“Tapi setelah pengarah habis buat skrip dan ceritakan kepada saya bahawa filem ini ada kena memgena dengan masa mudanya terutama luar bandar.

Saya rasa filem ini ada suara menarik untuk saya bawa menerusi karakter Azam. Naskhah ini tak berat juga tak berapa ringan, tapi seronok  untuk kita sampaikan,” katanya. 

Keberanian Syafiq untuk bekerjasama dengan Bujoq iaitu seorang penulis dan pengarah baharu juga menarik perhatian menandakan pelakon itu terbuka untuk bekerjasama dengan bakat muda

“Saya rasa ini masa untuk saya tidak hanya memberi perhatian kepada naskah blockbuster atau berskala besar sahaja. Bekerja dengan bakat baru memberi saya satu perspektif dan gaya penceritaan yang segar,” jelasnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN