Music Authors’ Copyright Protection (MACP) Berhad secara rasmi memperkenalkan Garis Panduan Mengenai Kecerdasan Buatan (AI) bagi melindungi hak dan kepentingan pencipta muzik di Malaysia.
Langkah ini diambil bagi memastikan ekosistem muzik tempatan kekal dilindungi di bawah kerangka undang-undang sedia ada, memandangkan perkembangan teknologi AI kini berpotensi menimbulkan cabaran besar terhadap isu hak cipta dan pemilikan karya.
MACP menegaskan bahawa hak cipta merupakan hak eksklusif yang hanya terhasil daripada daya kreatif dan sentuhan manusia.
Sehubungan itu, garis panduan baharu ini menetapkan bahawa hanya karya asli yang dihasilkan sepenuhnya oleh manusia layak didaftarkan dengan MACP untuk menerima pembayaran royalti.
MACP secara jelas tidak mengiktiraf sebarang karya yang terhasil sepenuhnya atau sebahagiannya dibantu oleh AI.
Pendirian ini selaras dengan kenyataan YAB Perdana Menteri di Parlimen baru-baru ini yang menekankan bahawa Malaysia belum mempunyai kerangka undang-undang khusus berkaitan AI.










