PETALING JAYA: Gara-gara berkongsi foto di sebuah premis makanan Cina baru-baru ini, penyanyi, Ernie Zakri tampil membidas dakwaan seorang netizen mengenai dirinya tidak cakna dalam memilih restoran halal.
Ernie berkata, premis yang dikunjunginya itu mempunyai sijil halal yang dipamerkan secara besar dan jelas.
“Terpampang besar dekat kedai dia sijil halal, insya-Allah,” katanya dalam Threads.
Sebelum ini, Ernie berkongsi momen indah dirinya bersama keluarga di sebuah restoran Cina di Melaka semasa beraya.
“Raya kedua balik Melaka, singgah tempat makan paling seronok,” kongsinya.
Namun, perkongsian itu mendapat hentaman daripada seorang netizen yang mendakwa dirinya tidak peka dengan premis makanan tidak halal.
Malah, individu tersebut turut meminta orang ramai untuk memboikot selebriti mahupun pempengaruh yang mengambil ringan dalam isu tersebut.
“Tolong boikot artis dan pempengaruh yang tak cakna isu halal macam ‘minah’ (perempuan) ini,” tulis netizen berkenaan.











