Tegas, saya tidak mahu anak terlalu sibuk bekerja - Anzalna  - Utusan Malaysia

Tegas, saya tidak mahu anak terlalu sibuk bekerja – Anzalna 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak semua selebriti mampu menyeimbangkan antara kerjaya, keluarga dan perhatian umum. Namun bagi Anzalna Nasir, kehidupannya dilihat semakin lengkap apabila bukan sahaja dirinya menjadi perhatian, malah keletah anak sulungnya turut mencuri hati ramai.

Apa yang bermula sekadar perkongsian momen harian di media sosial kini bertukar menjadi fenomena kecil apabila Idris, si cilik yang petah berkata-kata, mula dikenali ramai. 

Kecomelan dan kepintarannya di hadapan kamera membuatkan ramai pihak mula melirik, membuka ruang kepada pelbagai tawaran yang tidak dijangka.

Namun di sebalik perhatian itu, terselit dilema seorang ibu. Antara peluang dan tanggungjawab, Anzalna mengakui setiap keputusan perlu dibuat dengan penuh pertimbangan agar zaman kanak-kanak anaknya tidak tergadai dek populariti.

“Anak saya sekarang semakin popular di media sosial. Jadi tidak dinafikan,  sudah ada tawaran-tawaran untuk dia, bukan sahaja sebagai model produk, malah mungkin juga untuk kerja-kerja seni atau sebagainya. Tambahan pula, dia sudah pandai bercakap di hadapan kamera dan kelihatan selesa.

“Tetapi sebagai ibu, saya perlu fikir panjang. Saya sendiri kini bertindak sebagai pengurus kepada Idris. Saya pernah berbincang dengan suami dan berkata, ‘Abang, macam mana dengan semua ini? Saya tak pasti sama ada nak terima atau tidak sebab anak kita masih kecil dan belum benar-benar faham apa yang berlaku.

“Saya tidak mahu dia terlalu sibuk atau penat bekerja kerana ini bukanlah umur yang sesuai untuk dia. Namun dalam masa sama, saya sangat menghargai apabila orang suka dan menghargai anak saya sehingga mahu menjadikannya sebahagian daripada jenama mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Anzalna, dia tidak menolak semua tawaran yang datang, sebaliknya lebih selektif dalam membuat keputusan demi memastikan setiap peluang yang diterima benar-benar sesuai dengan usia dan perkembangan anaknya.

“Kami bukan menolak semua tawaran, tetapi saya akan pilih yang betul-betul bersesuaian untuk Idris. Ayah dia pun tidak ada masalah, malah menyokong selagi ia tidak membebankan anak kami,” jelasnya.

Berkongsi lanjut mengenai keperibadian anaknya itu, Anzalna menyifatkan Idris sebagai seorang kanak-kanak yang petah dan mencuit hati, seolah-olah mewarisi bakatnya sebagai figura awam.

“Kalau tengok kepetahan dia, memang nampak dia anak yang istimewa. Kadang-kadang saya rasa dia mewarisi sifat saya yang suka bercakap. Dia juga sangat mencuit hati dan mudah membuat orang tersenyum. Alhamdulillah.

“Sejak dia lahir sampai sekarang, saya memang banyak luangkan masa dengan dia. Saya banyak bercakap dengannya, melayan dan memberi perhatian sepenuhnya. Mungkin itu yang membentuk perwatakan dia jadi begitu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anzalna turut bersyukur apabila sering dilihat sebagai memiliki keluarga yang bahagia dan sempurna di mata masyarakat.

“Alhamdulillah, kalau itu yang orang nampak tentang keluarga saya, saya sangat bersyukur. Saya bersyukur dengan kehidupan saya sekarang dan sangat berterima kasih kepada suami saya atas segala sokongan.

“Buat masa ini, saya boleh katakan saya bahagia. Tetapi saya mohon doa semua agar hubungan kami kekal selamanya. Saya tidak berani untuk bercakap lebih-lebih kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Apa yang penting, setakat ini saya sangat bersyukur,” katanya penuh rendah diri.

Menyentuh tentang kehidupan dalam dunia media sosial yang sering menjadi perhatian ramai, Anzalna mengakui dia dan suami memilih untuk menjadi diri sendiri tanpa terlalu memikirkan persepsi orang luar.

“Kami tidak terlalu risau tentang apa orang nak kata. Apa yang anda lihat di luar, begitulah juga diri kami ketika bersiaran langsung atau di media sosial.

“Bagi saya, kalau kita sendiri tidak menjaga diri dan tingkah laku, orang lain boleh nampak. Tambahan pula bila kami keluar sebagai keluarga, memang orang akan perhatikan. Jadi kami hanya jadi diri sendiri dan cuba jaga apa yang patut,” jelasnya.

Mengakhiri perbualan, Anzalna percaya soal rezeki adalah ketentuan masing-masing dan tidak wajar dibandingkan.

“Bagi saya, setiap orang ada rezeki masing-masing. Kita tidak boleh bandingkan kehidupan kita dengan orang lain. Apa yang penting, kita bersyukur dengan apa yang kita ada dan terus berusaha menjadi lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN