Dua penyanyi cilik yang pernah mencetuskan fenomena menerusi lagu ‘tangkap leleh’, Tantari dan Putera Bobo, kini disatukan buat pertama kali dalam sebuah lagu raya berjudul ‘Tangisan 1 Syawal’.
Gandingan ini merupakan inisiatif komposer ternama, Eddie Hamid, yang sebelum ini bertanggungjawab mengangkat nama kedua-dua penyanyi tersebut menerusi lagu ‘Rindu Hatiku Rindu’ dan ‘Korban Rindu’.
Berbeza dengan lagu raya yang lazimnya ceria, ‘Tangisan 1 Syawal’ membawa naskah yang menceritakan tentang rintihan hati anak-anak yatim yang menyambut lebaran tanpa ibu bapa di sisi.
Menurut Tantari atau nama sebenarnya Naufal Zahirul Azahel Mohd Alfian, 8, proses rakaman lagu tersebut sangat menyentuh perasaannya.
“Masa rakaman lagu ini, memang rasa sedih sebab saya bayangkan kawan-kawan yang seusia saya tetapi tidak ada ibu bapa untuk beraya bersama. Saya harap lagu ini dapat sokongan ramai kerana ia berkaitan dengan anak-anak yatim piatu,” katanya.
Bagi Putera Bobo pula, dia menyifatkan lagu ini sebagai satu peringatan buat semua pihak untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat berkeluarga.
“Lagu ‘Tangisan 1 Syawal’ rasa dekat di hati saya kerana ia mengingatkan saya untuk selalu bersyukur. Selalunya bila raya kita bergembira, tapi anak-anak yatim terutama yang masih kecil tiada mak ayah.
“Harap lagu ini dapat mengingatkan kita kepada insan yang tidak bernasib baik. Jika ada kelapangan, ziarah dan railah mereka,” jelas Putera Bobo atau nama sebenarnya Putera Shah Nasratullah Mohd Nasran, 14.
Lagu terbitan Nova Music Malaysia ini ditulis oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha. Peminat sudah boleh menonton muzik video rasmi lagu ini di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 5 Mac 2026.










