Syukur Allah selalu jentik hati saya - Zara Zya - Utusan Malaysia

Syukur Allah selalu jentik hati saya – Zara Zya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap satu, dunia pelakon ini serta merta bertukar gelap gelita.

Gejala-gejala yang disangkakan sakit biasa, rupanya beberapa petanda kepada penyakit yang cukup ditakuti.

Hanya empunya badan sahaja yang tahu perasaan terbuku di hati. Zara Zya ketika itu berdepan antara fasa paling mencabar dalam hidupnya.

“Semasa doktor mengesahkan yang saya menghidap kanser tahap satu, air mata saya jatuh berderai.Saya tidak menyangka, kisah orang lain yang saya dengar dan baca sebelum ini, rupanya turut menimpa saya.

“Bila berdepan ujian seperti ini, diri kita sendiri yang kena kuat. Semangat itu datang dari dalam diri dan orang sekeliling.

“Kanser ini sebenarnya mengajar kita banyak perkara. Antaranya tidak berlebihan dalam bersedih, tidak berlebihan bergembira dan pada masa sama mengin­gatkan kita supaya jangan berfikir yang bukan-bukan,” katanya.

Zara sekitar Disember tahun lalu mengesahkan dia menghidap kanser sel buah pinggang (renal cell carcinoma) tahap satu.

Berita duka itu dimaklumkan doktor selepas saringan pengimejan resonans magnetik (mri) dilakukan pelakon ini beberapa bulan sebelum itu.

“Pemeriksaan awal mengesahkan saya mengalami keradangan sendi. Jadi doktor hanya memberi ubat untuk sebagai rawatan. Tetapi, kesihatan saya tidak tetap tidak pulih. Justeru saya melakukan mri untuk mendapatkan kepastian.

“Selepas itu barulah saya mengetahui yang selain terdapat fibroid pada ovari, muncul juga ketumbuhan yang kemudian disahkan kanser pada buah pinggang saya. Saya bersyukur kerana Allah menggerakkan hati saya untuk membuat saringan kesihatan kerana saya diberitahu kanser buah pinggang ini tidak menunjukkan gejala ketara pada peringkat awal,” kongsinya.

Kata Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, dia yakin ujian itu cara Allah S.W.T menunjukkan kasih sayang kepada hambaNya.

“Hanya insan-insan terpilih sahaja yang akan diuji dengan ujian seberat ini. Mungkin Allah tidak mahu saya terlalu leka dengan hal duniawi.

Bukanlah saya ini jahat atau pun liar. Nakal sedikit itu adalah, ketika remaja dahulu.

“Saya ini manusia yang jahil. Tetapi saya bersyukur kerana Allah selalu beri jentikan hati, sentiasa beri kesedaran dalam pelbagai cara.Saya diuji masalah kesihatan, keluarga pun bercerai berai. Ini semua petanda Allah sayang,” ujarnya.

MENCARI ISTERI SEMPURNA

Bercerita mengenai sambutan Ramadan, Zara memaklumkan dia akur kerana terpaksa mengorbankan kebanyakan masa di bulan mulia di set penggambaran drama Mencari Isteri Sempurna.

“Ramadan tahun lepas drama lakonan saya, Dia Imamku Bersiaran. Saya berterus terang dengan pihak produksi Mencari Isteri Sempurna yang saya mahu berehat pada Ramadan kali ini.

“Tetapi disebabkan beberapa isu yang tidak dapat dielakkan, mahu atau tidak penggambaran drama ini terpaksa juga dibuat dalam bulan Ramadan dan kemudian dilanjutkan pada Hari Raya Aidilfitri.

“Kalau boleh, memang saya mahu gunakan masa di bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan ibadah kerana Ramadan tahun lepas saya banyak habiskan masa di set penggambaran.

“Tapi tidak mengapa, kerja pun satu ibadah. Saya gembira dan terima dengan berlapang dada. Mungkin ini cabaran yang akan menguatkan mental dan fizkal saya,” katanya.

Zara dalam pada itu bersyukur dan mengakui sentiasa menantikan tawaran lakonan untuk drama yang ditayangkan pada bulan Ramadan.

“Saya bersyukur kerana masih berpeluang terbabit dalam drama untuk Ramadan. Seronok saya berkeja dengan pasukan produksi dan barisan pelakon drama Mencari Isteri Sempurna.

“Mencari Isteri Sempurna sarat dengan konflik keluarga, bukan cerita tipikal tentang perampas kebahagiaan atau penghancur rumah tangga orang lain.

“Saya gembira bila diberi peluang. Saya berterima kasih kepada pihak Astro kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjaya­kan drama 60 episod ini,” kong­sinya.

TANGGUNG MALU 

“Saya malu dengan tindakannya.”

Demikian luahan Zara mengenai usahawan Datuk Seri Khazrul Elzey yang sebelum ini menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat menerusi kenyataannya di media yang seolah-olah dia mempunyai hubungan dengan pelakon ini.

Zara menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai melampau dan menjatuhkan air mukanya.

“Saya sebelum ini tidak kenal pun dia siapa. Pertemuan kami di Pavilion tempoh hari atas dasar kerja semata-mata, bukan untuk kenal hati budi.

“Saya layankan permintaannya mahu bergambar dengan saya dan merakam momen perjumpaan kami ketika itu. Masa itu saya masih fikir positif walaupun dalam hati terdetik pertanyaan kenapa banyak gambar dan video yang diambil?

“Alangkah terkejutnya saya apabila dia menyunting gambar itu menunjukkan seolah-olah kami ini bercinta kemudian memuat naiknya di media sosial.

“Serta merta saya minta dia padam kandungan itu dan memaklumkan kepadanya yang saya ini tidak suka kepada publisiti murahan.

“Namun katanya dia suka kepada saya dan menyifatkan saya ini menidakkan ketentuan Allah. Terkejut saya apabila menerima respons sedemikian. Ibarat sedang melayan orang dewasa yang tidak matang,” kongsinya.

Dalam masa yang sama, Zara juga memaklumkan yang kesabarannya sampai ke kemuncak apabila Khazrul mengeluar kenyataan-kenyataan yang mengudang salah dalam wawancara bersama sebuah portal hiburan baru-baru ini.

“Kenyataannya memberi bayangan yang kami ini seperti sedang menjalinkan hubungan istimewa. Bagi saya itu melampau.

Disebabkan dia, ramai orang yang menghubungi dan bertanyakan status hubungan saya dengan dia.

“Sebab itu saya mengambil pendekatan untuk menjernihkan keadaan menerusi Threads. Saya merasakan dia sudah melampau batas,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN