“SAYA bukanlah membesar dalam keadaan berada, dulu waktu kecil saya tinggal di rumah pangsa dengan nenek kerana ibu bapa bercerai, bantu dia berniaga kuih,” cerita penyanyi, Syasya Rizal kepada kami di suatu petang.
Kening saya terangkat. Teringat beberapa tahun lalu ada sebuah komen di laman sosial memberi bayangan Syasya yang ketika itu masih ahli kumpulan Dolla memang anak bandar sebenar, juga berasal dari keluarga senang.
Rupanya sejak kecil, Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, sudah diajar berdikari. Tidak semua perkara akan datang bergolek. Semasa kecil, Syasya bangun di pagi hari bantu nenek berniaga nasi lemak di sekitar flat kediaman mereka di Pudu.
“Waktu menjelang lebaran nenek akan ambil tempahan buat kuih raya. Ingat lagi peristiwa kelakar waktu itu umur saya tujuh tahun,ingatkan tempahan kuih raya tak laku. Jadi saya buat iklan, tulis kalau ada sesiapa mahu buat tempahan tart nenas sila hubungi nombor nenek.
“Saya tampal dari bawah sampai tingkat 16. Tak sangka ramai telefon. Rupanya waktu itu tempahan nenek sudah terlalu banyak dan tidak boleh ambil pesanan baru. Nenek saya marahlah suruh cabut iklan yang saya tampal,” katanya ketawa.

Cerita penyanyi Raya Pum Pang itu lagi, setiap kali hampir tiba raya, dia akan teringat kenangan duduk di dapur rumah bantu nenek sapu telur di atas kuih sebelum membakarnya di dalam ketuhar.
“Sejak sekolah rendah sampai sekolah menengah juga saya bantu buat kuih. Itu resipi turun-temurun keluarga. Tapi itulah, saya cuba juga buat tapi tak sesedap yang nenek buat. Pendek kata rasa air tangan itu berbeza,” katanya.
Suasana menyambut hari raya sudah tentu berbeza, mengimbau kenangan beraya sebelum bergelar anak seni dan isteri, dia akan bersiap-siap untuk pulang beraya di rumah ibu saudara di Lubok China, Melaka.
Kata Syasya, dulu kalau main bunga api bukan main kepalang gembiranya.
“Tapi bila makin membesar, kami hanya beraya di Kuala Lumpur sahaja. Kami tiada tradisi yang spesifik cuma malam raya akan masak ‘ayam cabai hidup’, ayah tiri saya punya resipi. Itu sahaja agaknya yang istimewa, selebihnya berkumpul dengan keluarga kecil malam raya sebelum keesokan hari bertolak ke rumah saudara mara untuk makan-makan,” katanya.
Ditanya apakah perbezaan beraya sebagai seorang selebriti dan budak flat? Syasya tersenyum manis.
“Dulu bila tengok orang muat naik gambar di Instagram dapat banyak ‘likes’, saya akan fikir seronoknya. Sekarang bila jadi penyanyi, orang hendak bergambar dengan kita pula tapi biasanya sepupu. Topik perbualan pun lain, kalau dulu banyak tanya tentang akademik, sekarang mereka akan tanya bila lagu terbaharu, pengalaman berduet dengan Fazura dan sebagainya.
“Saya fikir dua-dua keadaan ini berbeza tapi saya hargai kedua-duanya. Nenek saya juga masih duduk di flat yang sama. Saya pernah ajak nenek tinggal bersama saya, tapi hatinya sudah sebati dengan flat. Dia ada kawan dan sudah selesa tinggal sendirian bersama kucing-kucing.
“Kadang kalau teringin masakan nenek, saya akan bodek minta dia masakkan ayam masak merah,” ceritanya.

Tambah Syasya, walaupun pernah bergelar ahli kumpulan Dolla sehinggalah kini berhijab dan membawa laluan seni sendiri, dia bersyukur kerana di mata penghuni flat, dia masih seorang Norsyasya Afiqah yang sama.
“Mereka semua masih anggap saya macam budak-budak termasuklah mak cik yang jual nasi lemak. Sebab bila pulang ke rumah, saya tidak selesa kalau orang kerumun. Tapi di flat, perkara itu tidak berlaku. Mereka anggap semua macam normal, kalau jumpa pun soalan macam orang lain ‘Syasya, anak macam mana?’ Sesuatu topik yang biasa untuk jiran-jiran.
“Orang kata, tiadalah layanan istimewa bila sudah bergelar selebriti. Waktu saya masih ahli Dolla pun sama. Cuma ada satu peristiwa kelakar, jiran saya ustazah. Waktu pakai seksi dia pernah tanya ‘pakaian kena begitukah?’ Tapi lepas kahwin dan berhijab, nampaknya dia okay,” tambahnya ketawa.

Persediaan raya ibu generasi Z
Kalau namanya generasi Z, mereka begitu dekat dengan trend TikTok, bukan sekadar lagu raya trending, tarian malah mereka juga tahu perkembangan fesyen apa yang bakal ‘awam’ pada tahun ini. Sebagai ibu kepada dua orang anak, Syasya akan memastikan persiapan raya suami dan anak akan selesai sebelum Ramadan bermula.
“Bila sudah jadi emak, kita akan utamakan anak-anak dahulu. Semua baju sudah siap, baju saya sahaja yang belum beli sampai suami bising. Baju anak-anak pula semua macam comel, ada yang saya beli di pusat beli-belah, ada juga dalam talian.
“Tapi kami tidaklah sampai 10 pasang baju. Saya sedar baju-baju itu saya tak akan pakai balik, jadi membazir. Pakai pun hari pertama sahaja di rumah ibu ayah, hari kedua di rumah mertua. Itupun untuk bergambar sekadar memori. Raya ketiga kita sudah berjalan, tidak perlu baju kurung,” katanya yang bakal beraya di Kuala Lumpur tahun ini.
Bercakap mengenai perubahan besar menjadi ibu, Syasya mengakui dia akan menjadi sangat beremosi sekiranya anak-anaknya diganggu. Mengulas mengenai itu, Syasya mengakui terguris dengan kata-kata warga maya yang pernah menghina anaknya hanya kerana dia tersilap makan daging khinzir semasa travel ke China tahun lalu. Mulai saat itu, dia semakin berhati-hati untuk melindungi keluarga.
“Bab anak memang saya mudah emosi, orang kata mudah meledak. Mana tidaknya, ada yang doa anak saya terencat hanya kerana saya tersilap makan daging. Apa kaitannya?
“Sekarang baru saya faham perasaan mak saya bila saya kena kecam dahulu. Emak saya pernah bergaduh dengan warga maya pertahankan saya, tapi sudah tentu orang tak tahu itu mak saya.
“Saya pun sama sekarang, tapi suami saya banyak nasihatkan, suruh saya bertenang dan cakap elok-elok,” katanya. Kini demi menjaga kesejahteraan keluarga dan dirinya, Syasya mengakui sudah menyekat ratusan akaun media sosial yang pernah menghamburkan kata tidak baik kepada keluarganya.
“Saya tidak bergaduh, tapi saya akan sekat semua akaun itu. Saya tidak mahu akaun itu terus sebarkan perkara negatif, lepas itu komen itu akan undang lebih ramai orang habis semua bercakap perkara tidak balik.
“Bagi saya saat ini, tidak kisahlah kalau orang mahu marah saya sekat mereka. Bagi saya kesejahteraan mental saya dan keluarga jauh lebih utama. Itu sudah cukup untuk saya,” katanya.










