Saya tidak mahu menumpang populariti pelakon lain jauh sekali gosip murahan - Shaza Bae - Utusan Malaysia

Saya tidak mahu menumpang populariti pelakon lain jauh sekali gosip murahan – Shaza Bae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaza Bae menegaskan enggan mencipta nama dalam industri seni tempatan melalui jalan kontroversi atau sensasi murahan.

Menurut Shaza atau nama sebenarnya Shaza Nuriman Mohamad Zamri, 31, beliau lebih percaya kepada konsep rezeki selain meletakkan sepenuh jiwa dalam setiap perjalanan kerjayanya sebagai anak seni.

“Jika perjalanan seni saya dianggap perlahan oleh pihak tertentu kerana tiada kontroversi atau hal-hal sensasi, saya terima dengan hati terbuka.

“Saya tidak mahu menumpang populariti pelakon lain, jauh sekali terlibat dengan gosip murahan. Biarlah saya berdiri atas kaki sendiri,” katanya.

Shaza berkata demikian menerusi satu hantaran di InstaStory miliknya semalam selain berkongsi sedutan temu bual dalam podcast Confession Bilik Gelap yang menyentuh isu penciptaan kontroversi demi meraih populariti.

Dalam pada itu, Shaza mengakui dirinya tidak mudah terpengaruh dengan arus populariti yang boleh mendorong seseorang artis mencipta cerita sensasi.

Jelasnya, sejak awal pembabitan dalam dunia lakonan, beliau telah menetapkan matlamat yang jelas dan memilih untuk kekal dengan prinsip tersebut.

“Apabila saya membuat keputusan untuk menjadi anak seni sepenuh masa enam tahun lalu, saya telah meletakkan niat dengan jelas.

“Saya lakukan ini kerana minat terhadap seni dan percaya Allah telah menetapkan jalan ini sebagai kerjaya saya. Walaupun tidak mudah, saya amat bersyukur,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN