Umpama insan terpilih, siapa sangka, pelakon dan penyanyi, Diana Rafar ditakdirkan Allah SWT untuk melalui satu pengalaman yang jauh berbeza daripada kebiasaan apabila diberi peluang membantu insan lain mengenal dan memeluk Islam.
Tanpa disangka, detik tersebut bukan sahaja menjadi satu kenangan berharga, malah meninggalkan kesan mendalam yang meruntun jiwa serta mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan, hidayah dan erti menjadi seorang Muslim.
Menurut Diana, pengalaman itu bermula sekitar tahun 2020 ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila dia didatangi seorang individu yang memohon bantuannya untuk membimbing seorang wanita memeluk Islam.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka ia satu rezeki yang sangat besar apabila Allah dorong saya ke arah itu. Waktu PKP, ada seorang hamba Allah datang dan bertanya sama ada saya boleh membantu mengislamkan seorang wanita. Katanya, wanita itu mahu seorang perempuan yang membimbingnya.
“Saya kata, ‘mana saya ada pengalaman?’ Tetapi mereka yakinkan saya bahawa pejabat agama dan para ustaz akan membimbing. Saya hanya perlu membantu dia melafazkan syahadah,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Diana, pengalaman pertama itu meninggalkan kesan yang sangat mendalam sehingga sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Apabila proses itu berjalan lancar, saya melihat satu keajaiban. Seorang yang bukan Islam, apabila memeluk Islam, auranya sangat berbeza. Suasana ketika itu, angin, perasaan, seolah-olah ada malaikat.
“Ketenangan itu memang tidak dapat digambarkan. Saya rasa seperti saya sendiri yang menerima hidayah. Kita nampak di depan mata, seolah-olah dosanya dileburkan. Masa itu saya rasa, ‘Ya Allah, indahnya perasaan ini’,” katanya.

Selepas kejadian tersebut, Diana diberi amanah untuk memuat naik video pengalaman berkenaan di media sosial selain tidak menyangka perkongsian tersebut memberi impak besar kepada orang lain.
“Apabila saya memuat naik video itu, ramai yang menghubungi saya, termasuk dari Sabah dan Sarawak, bertanya bagaimana cara untuk masuk Islam. Masa itu saya sedar, rupanya ramai yang ingin memeluk Islam tetapi tidak tahu ke mana hendak pergi,” ujarnya.
Sejak itu, Diana terus membantu mereka yang ingin memeluk Islam melalui saluran yang betul dengan bimbingan pihak berkuasa agama.
Dengan izin Allah, dalam tempoh beberapa tahun, dia telah membantu sembilan orang melafazkan syahadah.
Dalam masa sama, Diana tidak menafikan terdapat pihak yang mempersoalkan tindakannya, termasuk mengenai soal kelayakan dan tauliah.
“Memang ada yang mempertikaikan, tanya saya ada tauliah atau tidak. Ada juga artikel yang mengatakan saya tidak akan tenteram jika tidak membantu orang memeluk Islam.
“Saya rujuk mufti, ustaz dan jabatan agama. Mereka menjelaskan bahawa kita tidak perlu menunggu sehingga menjadi sempurna untuk melakukan kebaikan. Kita melakukan kebaikan kerana kita belum sempurna.
“Saya pun tahu diri bukan ustazah dan bukan orang yang sempurna. Tetapi mungkin dengan cara ini saya boleh mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.

Selain itu, Diana turut berkongsi kisah seorang mualaf yang memberi kesan mendalam kepadanya apabila individu tersebut akhirnya memeluk Islam di Masjid Putrajaya dalam salah satu sesi yang disertainya.
“Individu itu beritahu saya bahawa dia sebenarnya sudah lama tergerak hati. Dia kata orang selalu mengatakan orang Islam ini jahat, tetapi sepanjang dia belajar di kolej dan universiti, tidak ada seorang pun orang Islam yang berbuat jahat kepadanya. Semuanya baik.
“Hari dia mengucapkan syahadah di Masjid Putrajaya, rakan-rakannya dari Kelantan dan Terengganu sanggup datang untuk menyaksikan. Saya ingat mereka selalu berjumpa, rupa-rupanya mereka datang dari jauh semata-mata untuk memberi sokongan. Masa itu saya memang rasa meremang bulu roma.
“Bayangkan, kawan lama yang mengenali dia ketika bukan Islam, dia mencari mereka semula dan mengajak, ‘saya mahu masuk Islam, teman saya’. Itu sangat menyentuh hati saya,” katanya.
Bagaimanapun, dalam kebaikan yang dilakukan, Diana tidak menolak bahawa ada ketika dia berdepan tekanan sehingga tidak membuat siaran langsung selama beberapa bulan.
“Memang ada masa saya berasa tertekan. Ada yang berkata, ‘siapa awak untuk bercakap tentang agama?’ Tetapi saya sedar, lebih ramai yang mendapat manfaat daripada perkongsian saya berbanding yang mengkritik.
“Tetapi , kalau saya berhenti, bagaimana dengan mereka yang memerlukan panduan? Saya percaya, selagi kita melakukan sesuatu melalui jalan yang betul dan dengan niat yang baik, insya-Allah ada ganjarannya,” katanya.










