KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri tahun ini membawa makna yang berbeza buat bekas isteri kepada penyanyi terkenal, Nubhan Ahmad iaitu Dr Fie, apabila dia mengakui menyambut lebaran dalam suasana yang sedikit berlainan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurut Dr Fie atau nama sebenarnya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, Aidilfitri kali ini menyaksikan anak-anaknya terlebih dahulu beraya bersama bapa mereka pada hari pertama, sebelum gilirannya mengambil mereka pada hari raya kedua untuk meneruskan sambutan bersama.
“Raya pertama tahun ini saya bersama keluarga, manakala anak-anak bersama dengan bapa mereka dahulu. Jadi, hari raya kedua barulah saya dapat bersama anak-anak. Tahun ini kami tidak beraya serentak, tetapi Alhamdulillah saya ambil peluang untuk hargai masa bersama keluarga,” katanya.
Dr fie berkata, keadaan tersebut memberi ruang untuk mengeratkan hubungan dengan saudara-mara yang jarang ditemui.
Bagaimanapun, Dr Fie tidak menafikan bahawa situasi beraya tanpa anak-anak pada hari pertama sedikit menyentuh perasaan.
“Bila kita biasa siapkan anak-anak untuk raya, tiba-tiba tahun ini hanya siapkan diri sendiri, memang terasa juga. Soalan tentang anak-anak itu yang kadang-kadang buat rasa sedih, tetapi saya cuba biasakan diri dengan keadaan baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia turut berdepan dengan pelbagai soalan daripada ahli keluarga, khususnya berkaitan kehidupan peribadi dan jodoh.
“Biasalah bila raya, orang akan tanya soal jodoh dan kehidupan. Saya tidak terlalu risau dengan soalan itu, cuma saya ambil secara santai sahaja,” katanya.
Menyentuh mengenai persiapan Aidilfitri, Dr Fie mengakui jadual kerjanya yang padat sepanjang Ramadan menyebabkan dia belum sempat membuat persiapan sepenuhnya, termasuk membeli pakaian untuk anak-anak.
“Alhamdulillah, rezeki bulan puasa ini jadual saya memang penuh. Saya belum sempat beli baju raya anak-anak, tetapi saya tetap akan sediakan untuk mereka. Harapnya sempatlah buat persiapan sebelum balik kampung,” katanya lagi.
Selain itu, Dr Fie turut meluahkan keterujaan untuk menikmati hidangan tradisional Pahang yang sudah lama dirindui.
“Selalunya saya balik kampung selepas raya, jadi tidak sempat merasa suasana dan makanan raya sebenar. Kali ini saya dapat beraya di sana, jadi memang teruja untuk menikmati masakan tradisional,” ujarnya.
Mengulas mengenai anak-anak, Dr Fie menjelaskan mereka menerima situasi tersebut dengan baik kerana pendekatan yang digunakan lebih santai dan tidak menekankan perpisahan.
“Saya tidak beritahu mereka bahawa kami beraya berasingan. Saya cuma cakap kita raya di rumah ayah dulu, kemudian raya di rumah ibu. Jadi mereka tidak rasa seperti terpisah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Dr Fie turut mengakui menerima perhatian daripada beberapa individu yang cuba mendekatinya, khususnya melalui media sosial, namun menegaskan tiada sebarang perancangan serius ke arah hubungan baharu buat masa ini.
“Memang ada yang cuba berkenalan, kebanyakannya melalui media sosial. Tapi saya tidak terlalu percaya dengan jodoh di media sosial. Kalau itu jodoh yang Allah tentukan, kita terima, tetapi buat masa ini saya lebih berhati-hati,” katanya.
Tambahnya, pengalaman lalu menjadikan dirinya lebih matang dalam menilai hubungan.
“Saya tidak menolak untuk berkahwin semula, tetapi sekarang saya lebih berhati-hati. Saya masih terbuka untuk berkenalan, cuma fokus utama saya sekarang adalah kepada kerjaya dan anak-anak,” ujarnya.
Kini, Dr Fie lebih menumpukan perhatian terhadap pembangunan kerjaya serta perniagaan, di samping memastikan anak-anaknya membesar dalam suasana penuh kasih sayang.
“Saya mahu fokus kepada kejayaan diri dan masa depan. Pada masa sama, saya mahu pastikan anak-anak membesar dengan penuh kasih sayang,” katanya.









