PEJAM celik, sudah lebih satu tahun komposer legenda, Allahyarham Datuk S. Atan kembali ke sisi pencipta. Namun, arwah terus diingati dengan karya ciptaannya.
Seperti peribahasa harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, begitu juga S. Atan yang pergi meninggalkan jasa dan sumbangan kepada dunia seni tanah air.
Allahyarham meninggalkan kepada kita khazanah seni yang tinggi nilainya. Sampai sekarang, sambutan Hari Raya Aidilfitri rakyat Malaysia terus diperindahkan dengan lagu-lagu raya malar segar gubahan beliau.
Selayaknya, S. Atan atau Hashim Said terus dikenang sebagai ‘raja lagu raya’ yang tempatnya tidak mungkin dapat diganti.
Saya menjejak salah seorang penerus legasi Allahyarham iaitu anak ketiganya, Rozainie Hashim, 37, yang kini bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya.
Rozainie, anak ketiga S. Atan, juga mengikut jejak langkah ayahnya dalam bidang muzik. Dia mahir bermain trumpet dan accordion.
Menurut Rozainie yang mesra disapa Dani, pemergian bapanya, meskipun sudah lebih setahun berlalu, masih meninggalkan kesan buat keluarga.
“Lebih-lebih lagi mama saya sebab dialah yang paling rapat dengan arwah. Ketika arwah babah hidup, ke mana sahaja beliau pergi, pasti ditemani mama, melainkan kalau mama saya tidak sihat.
“Saya tengok mama sangat merindukan babah. Setelah ketiadaan arwah, mama tanpa gagal ziarah pusara babah. Itu menjadi rutin harian mama sehinggalah muncul orang tidak siuman di kawasan perkuburan yang merisaukan dia. Sejak itu mama melawat pusara babah ditemani anak-anak yang berkelapangan, tetapi tidak setiap hari seperti sebelumnya.
“Mahu kata mama belum dapat berdamai dengan ketiadaan babah, saya tidak dapat mengatakan ya atau tidak kerana tiada siapa tahu apa yang terbuku dalam hatinya.
“Tapi yang penting, selepas babah pergi, kami adik beradik sepakat utamakan mama dalam apa keadaan sekalipun. Contoh dalam bulan Ramadan, kami adik beradik akan tetap usahakan untuk berkumpul dan berbuka puasa bersama dia. Begitu juga pada hari raya pertama, kami semua akan berkumpul di rumah mama,” katanya.
Kata Rozainie, sambutan Hari Raya Aidilfitri Aidilfitri tidak semeriah sewaktu adanya Allahyarham bersama keluarga.
“Tanpa Babah, sambutan hari raya kami sangat berbeza. Jadi sebolehnya, kami anak-anak arwah, sedaya upaya memastikan emosi mama menjadi stabil kerana dialah yang paling terkesan dengan pemergian babah,” ujarnya.
Rozainie menyifatkan Allahyarham sebagai bapa yang penyayang terhadap isteri dan anak-anak dan sentiasa mendahulukan keluarga.
“Babah tidak pernah berkira dengan keluarga. Beliau sentiasa ingin menggembirakan keluarga. Setiap kali menjelang hari raya, Babah akan pastikan isteri dan anak-anaknya cukup dengan baju dan kasut baharu.
“Beliau tidak membesar dengan kemewahan, bukan dari keluarga senang. Babah sudah mengambil upah kutip bola tenis dan tangkap ikan bersama anak saudaranya iaitu Datuk Ramli M.S.
“Mungkin disebabkan itu arwah sentiasa mahu mencukupkan kemahuan isteri dan anak-anaknya manakala beliau orangnya cukup bersederhana dan sentiasa meletakkan kemahuannya selepas keperluan keluarga,” ujarnya lagi.

BERBAKAT BESAR
“Bila dapat melodi, beliau akan rakam dan mainkan semula dengan piano.”Demikian kata Rozainie tentang cara bapanya menggubah lagu.
Rozainie menyifatkan Allahyarham insan berbakat besar yang memang dilahirkan untuk menjadi pemuzik dan penggubah lagu.
“Allahyarham ada prinsip sendiri dalam mencipta lagu. Baginya melodi lagu yang malar segar adalah yang mudah diterima dan diingati pendengar.
“Babah seorang penggubah lagu yang cukup teliti dengan hasil kerjanya. Antara semua adik beradik kami, saya paling rapat dengan arwah dan banyak membantu beliau menggubah lagu ketika tahap penglihatannya mula merosot.
“Jadi, saya menyaksikan sendiri bagaimana beliau bekerja, mendapat ilham mencipta lagu,” kongsinya. Rozainie juga menceritakan yang arwah bapanya seorang seniman yang unik, terutamanya daripada segi cara beliau bekerja.
“Terdapat sebuah bilik di rumah arwah dekat Kajang, Selangor yang menjadi tempat khas untuk beliau menyiapkan kerja-kerjanya. Dalam bilik itu diletakkan piano dan meja untuk arwah menulis.
“Dulu kami adik beradik tidak dibenarkan membuat bising ketika arwah bekerja, apatah lagi masuk ke bilik itu.
“Dan arwah ada masa bekerja tertentu. Lazimnya sekitar malam sampai awal pagi. Mungkin itu antara masa yang bagi arwah paling tenang untuk beliau bekerja,” ujarnya lagi.

SENTIASA DALAM KENANGAN
Rozainie gagal menahan sebak, meminta saya memberikannya beberapa minit untuk dia mengawal kesedihan sejurus selepas saya bertanya tentang bagaimana lagu-lagu hari raya gubahan Allahyarham mengembalikan kenangan dan nostalgianya.
“Lagu gubahan babah, terutamanya lagu hari raya, kalau berkumandang di radio atau televisyen, pasti membuatkan saya terkenang kepada beliau. Bagi masyarakat Malaysia, mungkin lagu-lagu gubahan Babah ini pelengkap sambutan hari raya mereka. Namun bagi saya, ia mengandungi nilai sentimental yang mendalam.
“Setiap kali saya mempersembahkan lagu-lagu ciptaan beliau, pasti akan terasa kehilangannya. Pernah gugur air mata saya semasa mempersembahkan lagu arwah sebab saya pasti akan teringat kepada beliau. Tapi saya cuba reda. Semoga babah tenang di sana,” katanya.
Ditanya mengenai lagu hari raya kegemaran gubahan bapanya, Rozainie menyebut Menjelang Hari Raya dipopularkan Datuk DJ Dave dan Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone) antara yang menangkap jiwa.
“Tapi kalau bercakap lagu yang paling menyentuh emosi, saya pilih Dari Jauh Ku Pohon Maaf dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad,” kongsinya.
Kata Rozainie sebagai waris S. Atan, dia memikul tugas penting dalam memastikan karya ciptaan bapanya terus berkekalan dan dapat dinikmati selama-lamanya.
“Saya akan usahakan untuk pastikan lagu-lagu ciptaan babah ini terus hidup zaman berzaman. Antaranya, menerusi konsert Tribute To Sudirman yang masih dalam proses perbincangan.
“Saya akan persembahkan lagu-lagu ciptaan arwah yang bukan sahaja mencipta lagu raya tetapi juga lagu-lagu pop untuk ramai penyanyi,” jelasnya.

SATU DALAM SEJUTA
Penyanyi bertaraf legenda, Datuk DJ Dave menyifatkan S. Atan sebagai pemuzik dan penggubah lagu yang tiada galang gantinya.
Katanya, Allahyarham bukan sahaja berbakat besar malah mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap bidang muzik.
“Saya pernah jemput arwah menjadi tetamu untuk sebuah konsert yang saya anjurkan di Istana Budaya lama dahulu.
“Ketika itu, konduktor orkestra, Ismail Marzuki atau Eddie dari Kumpulan Flybaits sedang mencari pemain piano kedua untuk persembahan itu.
“S. Atan sanggup tawarkan diri untuk mengisi kekosongan tersebut tanpa meminta bayaran. Inilah sikap seorang S. Atan,” katanya.
Berkongsi pengalaman merakamkan lagu Menjelang Hari Raya pada tahun 1979, DJ Dave mengimbau momen awal bekerja dengan S. Atan yang dianggapnya sahabat baik.
“Syarikat rakaman pada masa itu mencadangkan beberapa penyanyi untuk menyanyikan lagu ini, antaranya Latiff Ibrahim dan Hail Amir. Tapi S. Atan secara peribadi memilih saya kerana baginya lebih sesuai.
“Mudah bekerja dengan S. Atan. Arwah komposer yang tidak cerewet dan pantas bekerja. Kami memang serasi bekerjasama.
“Selain Menjelang Hari Raya, beliau juga menggubah beberapa lagu hits saya termasuk Pertemuan Di Awan Biru dan Kawan Setia.
“Pada saya, S. Atan penggubah lagu yang pintar. Tiada siapa dapat menggantikan tempatnya. Bakat dia pada saya ‘lain macam’,” kongsinya.











