KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Aishah mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini diraikan secara sederhana tanpa sebarang persiapan rapi susulan pemergian ibu tercinta, Norita Sulaiman.
Menurut Puteri Aishah, kenangan bersama arwah ibunya yang masih segar dalam ingatan menyebabkan dirinya tidak bersemangat untuk membuat persiapan seperti kebiasaan.
“Tahun ini, saya tak buat persediaan sangat sebab memang tiada keputusan untuk beraya besar-besaran. Saya tetap beraya, cuma ala kadar sahaja,” katanya.
Bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu dilihat tidak dapat menahan sebak setiap kali mengenang memori bersama arwah ibunya yang banyak memberi kekuatan dalam hidupnya.
Dalam pada itu, pelakon tersebut memaklumkan dia menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur bersama keluarga mentua sebelum pulang ke kampung halaman di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Katanya, kepulangan itu bagi menziarahi pusara arwah ibunya selain menemani adiknya yang masih bujang agar tidak berasa keseorangan.
“Tahun ini saya beraya di Kuala Lumpur dahulu. Selepas itu saya akan pulang ke Port Dickson, kampung mama untuk melawat kuburnya.
“Adik saya masih bujang, jadi saya mahu temankan dia. Kasihan dia, mungkin rasa sunyi buat pertama kali tanpa mama,” ujarnya.
Terdahulu, Puteri Aishah berkongsi berita pemergian ibunya yang menghembuskan nafas terakhir selepas hampir sedekad berjuang melawan penyakit kanser.
Berita duka itu dimaklumkan menerusi hantaran di media sosial yang turut memaparkan luahan penuh emosi mengenai pengorbanan serta ketabahan arwah sepanjang mengharungi ujian penyakit tersebut.










