Raya dulu dan sekarang ada bezanya - Utusan Malaysia

Raya dulu dan sekarang ada bezanya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan Hari Raya Aidilfitri sentiasa membawa makna besar kepada masyarakat Islam di negara ini. Namun, perubahan zaman memperlihatkan perbezaan ketara antara kemeriahan sambutan raya dahulu dan sekarang.

Jika dahulu Aidilfitri diraikan dengan penuh kesederhanaan tetapi sarat dengan nilai kebersamaan, hari ini sambutannya lebih moden dan dipengaruhi perkembangan teknologi serta gaya hidup semasa.

Walaupun kemeriahannya masih terasa, ramai mengakui suasana raya dahulu yang lebih akrab dan penuh nostalgia tetap menjadi memori yang paling dirindui

Datuk Jamal Abdillah

Penyanyi legenda tanah air, Jamal Abdillah menyifatkan suasana sambutan Hari Raya masa kini jauh berbeza berbanding dahulu, terutama dari segi cara masyarakat menghayati bulan Ramadan dan Syawal.

Menurutnya, kehidupan pada masa lalu lebih sederhana tanpa pengaruh internet dan media sosial yang kini menjadi sebahagian besar rutin harian masyarakat.

“Dulu kehidupan lebih sederhana dan tidak ada internet atau media sosial. Kita menunggu waktu berbuka puasa atau menunggu hari raya dengan penuh perasaan. Penghayatan terhadap Ramadan pun lebih mendalam.

“Kalau dulu hendak beli baju raya pun susah, sekarang semuanya boleh dibeli secara dalam talian. Pakaian raya pun terlalu banyak pilihan,” jelasnya.

Berkongsi mengenai rutin hari rayanya sebagai seorang artis, Jamal berkata kebanyakan masa Syawal dihabiskan dengan memenuhi undangan persembahan di pelbagai majlis.

“Dari hari raya pertama hingga akhir Syawal biasanya penuh dengan persembahan di rumah terbuka Perdana Menteri, kementerian, agensi kerajaan dan pelbagai majlis lain.Tahun lepas hampir setiap hari ada acara sehingga 30 Syawal. Kadang-kadang dalam sehari saya pergi tiga acara, pagi, tengah hari dan malam,” katanya.

Walaupun jadual padat, beliau bersyukur kerana keluarga memahami tuntutan kerjayanya sebagai penghibur.

Elly Mazlein

Pelakon, pelawak dan penyanyi, Elly Mazlein meluahkan rasa rindu terhadap kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada zaman dahulu yang disifatkannya lebih meriah dan penuh nostalgia berbanding suasana hari ini.

Menurut Elly atau mesra disapa Kak Lina, kenangan menyambut Aidilfitri pada era terdahulu meninggalkan banyak memori indah yang sukar dirasai oleh generasi kini.

“Kalau cakap pasal Raya dulu dengan sekarang, sudah tentu kita rindukan suasana dahulu. Kita pernah merasainya, jadi memang kita nak kembali kepada momen itu.Dulu kita boleh main bunga api ramai-ramai, balik kampung dan tidur berselerak dengan saudara-mara. Suasana itu memang seronok dan meriah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Elly yang memulakan kerjaya seni sebelum era media sosial turut berkongsi pengalaman menerima kad raya daripada peminat ketika awal penglibatannya dalam industri hiburan.

“Dulu masa raya, kita dapat banyak kad raya daripada peminat. Kadang-kadang mereka selitkan sekali duit raya dalam kad itu. Bila buka kad, ada duit di dalamnya. Benda-benda kecil macam itu yang buat kita rasa seronok,” jelasnya.

Menurutnya lagi, tradisi menghantar kad raya kepada peminat juga pernah menjadi antara cara artis menghargai sokongan mereka ketika itu.

Datuk AC Mizal

Bagi pelakon, penyanyi dan pengacara, Datuk AC Mizal, antara perkara paling dirindukan mengenai Hari Raya Aidilfitri adalah aktiviti gotong royong seluruh keluarga pada malam menjelang Syawal.

Menurut AC atau Mizal Zaini, aktiviti yang sinonim dengan masyarakat luar bandar itu, menjadi antara perkara yang paling ditunggu-tunggu setiap kali menyambut hari raya di kampung halaman.

“Dulu, saya selalu pulang ke kampung ibu di Negeri Sembilan. Jadi sempat juga saya merasai kemeriahan aktiviti persiapan menjelang hari raya.

“Malam itu satu keluarga sibuk dengan tugas masing-masing, ada yang pasang langsir dan sebagainya. Tapi yang paling seronok adalah aktiviti kacau dodol serta bakar lemang di belakang rumah.

“Sekarang ini mungkin aktiviti-aktiviti seperti itu sudah tidak menjadi amalan. Zaman berubah, generasi zaman sekarang pun lebih cenderung bermain telefon bimbit,” katanya.

Mengimbau kenangan berhari raya ketika bergelar artis pada zaman 90-an dahulu, AC berkata antara pengalaman yang masih segar dalam ingatan adalah ketika menjayakan program televisyen yang dipancarkan secara langsung pada malam menjelang syawal.

“Masa itu memang meriah kerana itulah satu-satunya peluang untuk ramai artis berkumpul sebelum hari raya.

“Yang melucukan adalah sebaik sahaja program itu selesai sekitar awal pagi, semua artis kelam kabut mengemas barang, meninggalkan studio dan terus pulang ke kampung halaman masing-masing,” ujarnya.

Ditanya mengenai sambutan aidilfitri nanti, kata AC kebiasaannya kediaman beliau pada hari raya pertama akan menjadi tempat berkumpul keluarga.

“Saya merupakan anak sulung antara tiga beradik. Jadi adik beradik lain akan berkumpul di rumah saya pada hari raya pertama. Begitu juga adik beradik isteri saya, Emylia Rosnaida yang juga akan berkumpul di rumah kami.

“Jadi sambutan aidilfitri pada hari pertama tidaklah sunyi. Cuma pada hari kedua dan seterusnya semua akan pulang ke kampung halaman isteri atau suami masing-masing,” katanya lagi.

Zur Eda

Penyanyi popular era 80-an, Zur Eda, berpandangan sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketika era 80-an hingga awal 2000 lebih meriah lebih meriah berbanding zaman sekarang.

Kata Zur Eda atau Zuraidah Mokhtar, hal demikian orang zaman itu lebih cenderung kepada kehidupan bermasyarakat berbanding generasi sekarang yang ibarat terikat dengan penggunaan gajet.

“Aktiviti hari raya dahulu seperti amalan menyalakan pelita, takbir raya rumah ke rumah nampaknya semakin dilupakan.

“Namun, saya sampai hari ini tetap hidupkan hari raya dengan amalan-amalan terdahulu, lebih-lebih lagi aktiviti memasang pelita bermula malam 27 Ramadan. Rasanya sambutan Hari Raya Aidilfitri tak lengkap tanpa amalan-amalan tersebut,” kongsinya.

Berkongsi pengalaman berhari raya sewaktu kanak-kanak dan remaja, kata penyanyi Zur Eda berkata, seperti keluarga lain, keluarganya menjelang Syawal akan sibuk membuat persiapan termasuk membersih persekitaran luar dan dalam rumah.

Katanya antara kelaziman yang dilakukan adalah membersihkan perhiasan tembaga milik ibunya termasuk barangan antik seperti tepak sirih dan sebagainya.

“Selain itu, keluarga kami dulu duduk berdekatan dengan saudara mara. Jadi, malam raya kami menjadi lebih meriah, saling bersaing memasang langsir dan menghias rumah.

“Masa zaman kanak-kanak dahulu, seronok pergi rumah saudara melihat dekorasi kediaman mereka sempena Aidilfitri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN