“Saya bukan tak bayar, saya juga tak lari. Saya akan lunaskan sebelum raya,”
DEMIKIAN kata pelakon, Rahim Omar, selepas seorang individu mendakwa pelakon itu melarikan diri akibat gagal melunaskan tunggakan sewa rumah seperti yang tular di aplikasi Threads, baru-baru ini.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, pelakon siri drama Black itu mengakui terkejut perkara ini menjadi bahan percakapan selain mendakwa ada beberapa perkara yang didakwa individu tersebut tidak benar seperti rumah mengalami kerosakkan selepas pelakon itu selesai menyewa.
“Kontrak rumah itu tiga tahun, tapi saya minta jasa baik tuan rumah untuk beri saya tinggal lagi sebulan untuk cari kediaman lain. Kontrak itu di bawah nama anak saya yang peroleh bantuan zakat. Jadi setiap bulan, zakat akan bayarkan RM800 cuma saya kena tambah RM300.
“Tunggakkan itu saya akui ada sedikit kesukaran untuk saya bayar sebab keadaan kewangan saya sudah tidak seperti dahulu lagi.
“Mungkin tuan rumah nampak saya muncul di televisyen, mereka fikir bayaran banyak tapi orang luar tidak tahu jumlah bayaran yang saya peroleh sangat kecil. Kadangkala nak dapat tawaran berlakon juga susah kerana banyak naskhah sudah tidak mahu watak orang tua,” katanya.
Tambah Rahim lagi, setiap bulan dia hanya memperoleh anggaran RM1,500. Itupun selepas menjadi watak sampingan beberapa adegan drama.
“Bila tawaran kerja tidak sama macam dulu, keadaan jadi sedikit sukar. Saya juga ambil sahaja kerja walau bayaran sikit, hendak buat bagaimana?.
“Sepanjang 66 tahun hidup, ini pertama kali saya alami situasi seperti ini. Dahulu saya ada simpanan mencukupi, cuma ada dugaan dalam hidup membuatkan saya terpaksa menggunakan wang tersebut mengakibatkan saya kesempitan wang,” tambahnya.
Bagaimanapun, Rahim menegaskan, dia tidak pernah lari atau meninggalkan rumah dalam keadaan teruk seperti didakwa. Malah kata Rahim, sehingga hari ini dia masih membalas setiap mesej daripada individu tersebut dan berjanji akan melunaskan tunggakan bernilai RM4,000 sebelum sambutan hari raya Aidilfitri.
“Saya juga nak terangkan, dakwaan rumah itu rosak adalah tidak benar. Jika sudah tiga tahun tinggal di sana, sudah tentu ada cat yang luntur. Saya juga jawab panggilan dan mesej tuan rumah, saya tidak lari.
“Jadi bila keluar gambar begitu, saya terkilan. Kalau kita emosi, memang saya akan marah sebab ini semua tentang maruah. Anak-anak saya juga marah cuma saya tak beri mereka buat apa-apa tindakan. Anggap sahaja ada hikmah daripada Allah,” katanya yang kini menyewa di kediaman salah seorang kenalan anaknya.
Bagaimanapun, Rahim terharu kerana ada beberapa rakan artis yang bertanya khabar dan mahu membantunya dalam keadaan yang serba mencabar ini seperti Datuk Remy Ishak, Fizo Omar dan Noorkhiriah.
“Waktu kita susah barulah kita kenal erti persahabatan. Saya terharu apabila ada rakan pelakon yang pernah bekerja dengan saya mahu bantu. Mungkin mereka kenal saya orang yang bagaimana.
“Saya bukan jenis yang meminta termasuklah dekat anak-anak. Kalau terdesak, saya hanya pinjam wang daripada orang yang saya kenal sahaja. Dengan bantuan kawan-kawan, insyaAllah sebelum raya saya akan selesaikan semua tunggakkan itu,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial berkongsi beberapa keping gambar dan perbualan mesej dengan pelakon, Rahim Omar mendakwa pelakon itu gagal membayar sewa rumah selama dua tahun. Malah, wanita itu juga mendakwa rumahnya mengalami kerosakkan mengakibatkan dia terpaksa mengeluar wang beribu ringgit untuk kos baik pulih.










