PELAKON, Ezzanie Jasny, sampai hari ini tidak menemukan sebarang jawaban, sebab yang membuatkan dia menjadi sasaran kebencian individu-individu bertopengkan syaitan yang berselindung di sebalik akaun media sosial palsu.
Puas Ezzanie memikirkan, kesalahan apakah yang mengundang pelaku, menyerangnya di media sosial, sehingga sanggup melayangkan ancaman dengan niat untuk menakut-nakutkan.
Pelakon drama Dia Bukan Syurga ini tidak putus berdoa agar dirinya, keluarga dan sahabat sentiasa berada dalam perlindungan Tuhan.
“Agak teruk juga ugutan yang saya terima daripada individu tersebut. Sampaikan dia mahu mengancam keluarga, pembantu peribadi dan kawan-kawan saya. Ini bukan petanda yang baik.
“Si penyamar juga mengugut mahu menyihir saya. Sesiapa pun, sebaik sahaja menerima ancaman sebegini, pasti akan hidup dalam ketakutan.
“Sebagai manusia biasa, tentunya fikiran saya berkecamuk apabila ditakut-takutkan dengan ancaman-ancaman seperti itu.
“Tapi Alhamdulillah, Allah beri kekuatan untuk saya kawal fikiran supaya tidak berfikir perkara yang bukan-bukan,” katanya.

Ezzanie mula menerima ancaman selepas wujud sebuah akaun palsu media sosial yang menyamar sebagai dirinya, mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama selain membuat pengakuan yang dirinya sudah murtad.
Susulan itu, muncul pula akaun-akaun palsu media sosial lain yang kononnya terkesan dengan kenyataan-kenyatan berkenaan, sekali gus bertindak melayangkan pelbagai ugutan termasuk ancaman untuk membunuh keluarga pelakon tersebut.
Pelakon berusia 26 tahun ini tidak berdalih, dia segera melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Satu laporan polis telah difailkan sekitar Januari lepas.
“Sebenarnya aduan juga telah saya buat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan saya percaya mereka telah mengambil tindakan kerana saya tidak lagi menerima gangguan daripada akaun-akaun palsu tersebut.
“Alhamdulillah, keadaan ini amat melegakan saya. Ia tidak sepatutnya berlaku dan saya harap perkara seperti ini tidak menimpa orang lain.
“Buli siber ini tidak seharusnya dibiarkan. Kegiatan mereka yang bersembunyi disebalik gelaran tentera papan kekunci ini tidak sepatutnya dinormalisasikan.
“Saya pun tidak tahu sama ada mereka yang terlibat dengan kegiatan buli siber ini waras atau pun tidak.
“Pesanan saya kepada pelaku-pelaku berkenaan, hentikanlah kegiatan yang tidak bermoral ini kerana ia akan memakan diri anda sendiri. Kejahatan yang anda lakukan ini adalah satu jenayah. Jadi hentikanlah,” kongsinya lagi.
Ezzanie atau Nur Ezzanie Sherazade binti Jasny dalam pada itu meluahkan rasa lega kerana tidak membiarkan malah bertindak segera dengan melaporkan segala ugutan yang diterimanya kepada pihak berkuasa.
“Alhamdulillah hidup saya sekarang tenang kerana tidak lagi menerima sebarang gangguan, ancaman dan buli siber di media sosial. Saya pilih untuk tanganinya sebab saya mahu hidup dalam tenang.
“Bayangkan, ugutan-ugutan yang saya terima ini berlaku tidak lama sebelum kemalangan yang saya alami pada 10 Januari lepas.
“Ketika itu saya tertekan dengan memikirkan banyak perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah, Allah pelihara saya dan mereka yang saya sayangi,” jelasnya.










