KUALA LUMPUR: Pelakon, Aqasha menafikan naskhah drama bersiri Walid mempunyai agenda tersembunyi untuk mencalarkan imej golongan agamawan.
Aqasha atau Firdee Akassya Rosli, 43, berkata, penonton masa kini semakin matang dan bijak menilai mesej yang ingin disampaikan, lebih-lebih lagi menerusi watak ketua ajaran sesat, Habiburrahman yang dibawakannya.
“Jika mahu diletakkan skala terhadap watak Habiburrahman, sama ada baik atau jahat, jelas ia lebih cenderung kepada keburukan.
“Kita mudah beranggapan cerita sebegini mencalarkan imej golongan tertentu. Namun, saya percaya penonton hari ini sudah celik dan cerdas. Mereka mampu membezakan antara watak yang berada di jalan lurus dan yang menyimpang.
“Tambahan pula, gaya penulisan skrip ini cukup kemas, selain dibarisi pelakon hebat yang bukan calang-calang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Saloma Bistro, baru-baru ini.
Mengulas penerimaan khalayak, Aqasha bersikap terbuka terhadap kritikan, namun berharap ia disampaikan secara berhemah dan bersifat membina.
“Sebagai pelakon, saya tidak boleh menolak maklum balas negatif kerana itu membantu saya memperbaiki mutu lakonan. Cuma, janganlah terlalu ekstrem atau taksub dalam memberi pandangan.
“Tidak salah untuk kita ‘setuju untuk tidak bersetuju’. Yang penting, mesej naskhah ini sampai kepada masyarakat,” ujarnya.
Berkongsi mengenai persiapan watak, Aqasha mengakui karakter tersebut antara yang paling mencabar sepanjang karier seninya. Selain perlu menjiwai peranan seorang ‘guru’, dia turut dituntut melantunkan qasidah serta membaca ayat suci al-Quran dengan makhraj dan tajwid yang tepat.
“Apabila memegang watak seorang guru agama, sebutan dan tajwid perlu sempurna supaya tidak kelihatan janggal.
“Saya sangat menitikberatkan aspek penyampaian kerana Habiburrahman digambarkan sebagai individu berwibawa dan berkarisma. Tidak boleh ada cacat cela agar watak itu benar-benar hidup.
“Syukur, di set penggambaran ramai tenaga produksi yang arif dalam bacaan al-Quran dan banyak membantu saya memperkemaskan karakter ini,” katanya.
Walid merupakan sekuel kepada drama fenomena, Bidaah yang pernah mencetuskan perhatian hingga ke Indonesia. Siri arahan Pali Yahya itu ditayangkan menerusi platform penstriman Viu sempena Ramadan dan turut dibintangi Faizal Hussein, A. Tamimi Siregar serta pelakon Indonesia, Olla Ramlan. -UTUSAN










