PETALING JAYA: Pelakon, Yuna Rahim kesal dengan tindakan seorang individu yang lambat membuat pembayaran selepas dirinya sudah berpenat lelah bekerja.
Menurut Yuna, individu tersebut bukan sekadar lambat membuat pembayaran, malah mungkir janji untuk melunaskan bayaran yang tertunda mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Saya terlampau penat menunggu bayaran yang berjanji dari hari ke hari tukar pada minggu sudah jadi sebulan dah ini,” katanya di Threads.
Bagai mengemis duit sendiri, Yuna turut mendedahkan individu tersebut sempat mempersoalkan wang simpanan yang diberikan oleh suaminya demi menutup kesalahannya yang lewat membuat pembayaran.
“Sudah mahu raya. Sumpah sedih dah habis air mata menangis. Lepas itu ada orang mulut puaka ini boleh tanya kita balik ‘eh laki awak kerja kan takkan awak tiada duit?’
“Faham tak konsep itu duit aku. Aku nak sebab aku kerja. Duit laki aku itu lain ceritalah syaitan,” tegasnya.
Yuna bagaimanapun tidak mendedahkan nama mana-mana individu mahupun pihak produksi yang belum melunaskan bayaran tersebut.










