KUALA LUMPUR: Niat seorang suri rumah membeli sepasang baju kurung untuk persiapan Aidilfitri bertukar menjadi detik paling bermakna apabila beliau memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 menerusi kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by AFFIN.
Tuah menyebelahi Nurul Agilah Radzuan, 33, dari Taiping, Perak apabila pembelian pakaian tersebut secara dalam talian melayakkan beliau muncul sebagai salah seorang pemenang utama menerusi ganjaran AFFIN Dream Box, hasil kerjasama strategik dengan Affin Islamic Bank Berhad.
Nurul Agilah yang juga ibu kepada dua orang anak berkata, pada mulanya beliau menyangka jumlah yang terpapar selepas mengimbas kod QR pada bungkusan pakaian tersebut hanyalah ratusan ringgit.
“Sejujurnya saya tidak sangka langsung. Saya membeli baju kurung itu kerana tertarik dengan promosi tumbler percuma. Apabila bungkusan sampai, saya buka kotak dan cuba pakaian tersebut sebelum mengimbas kod QR yang disediakan.
“Apabila melihat jumlah yang dipaparkan, saya ingatkan hanya RM200 kerana angka itu mempunyai banyak sifar. Saya kemudian mengambil tangkapan layar dan menghantar kepada suami untuk memastikan apa yang saya lihat itu betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah di Menara AFFIN, TRX di sini pada Selasa.
Menurutnya, kemenangan tersebut disifatkan sebagai rezeki Ramadan yang amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
Katanya, wang yang diterima itu akan dimanfaatkan sebaiknya, termasuk untuk simpanan masa depan serta merealisasikan beberapa perancangan keluarga yang sebelum ini tertangguh.
Sementara itu, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi atau lebih dikenali sebagai Meri berkata, idea memperkenalkan konsep Dream Box tercetus bagi memberi kelainan dalam kempen tahunan jenama tersebut.
Menurutnya, sebelum ini sering timbul perbandingan nilai hadiah fizikal yang ditawarkan setiap tahun.

“Disebabkan itu saya terfikir, adakah setiap tahun kami perlu menawarkan hadiah fizikal yang lebih mahal? Maka lahirlah konsep Dream Box yang memberi kebebasan kepada pemenang menentukan impian mereka sendiri.
“Kerjasama dengan Affin Islamic Bank juga membuka peluang untuk kami memperluaskan profil pelanggan dan pada masa sama berkongsi rezeki dengan pelanggan setia Bulan Bintang,” katanya.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menganggap kempen tersebut sebagai penipuan kerana proses kemenangan yang dilihat terlalu mudah, Meri menegaskan mekanisme yang digunakan adalah telus dan jelas.
Katanya, pelanggan hanya perlu membuat pembelian mana-mana produk bermula RM109 sebelum mengimbas kod QR yang disertakan bagi mengetahui keputusan secara serta-merta.
“Kami mahu pelanggan merasai sendiri pengalaman menang tanpa perlu menunggu cabutan atau melalui proses yang rumit,” ujarnya.
Tambah beliau, kempen tersebut masih membuka peluang kepada pelanggan lain untuk memenangi pelbagai hadiah lumayan yang ditawarkan.
“Selain hadiah RM200,000, terdapat juga Dream Box bernilai RM100,000, RM10,000 dan RM5,000, selain beberapa buah kereta serta motosikal.
“Senarai penuh hadiah boleh disemak menerusi aplikasi Bulan Bintang,” katanya.
Kempen itu turut menawarkan pelbagai ganjaran menarik termasuk Affin Dream Box bernilai RM500,000 serta Duit Raya Affin Bank berjumlah RM400,000, selain hadiah daripada jenama seperti Dr. Cardin, Tealive dan Tabung Haji Travel & Services.
Kolaborasi antara beberapa jenama tersebut dilihat sebagai satu inisiatif luar biasa yang jarang diketengahkan dalam industri fesyen tempatan.










