Man Kidal tunaikan amanah arwah sahabat terbit lagu raya - Utusan Malaysia

Man Kidal tunaikan amanah arwah sahabat terbit lagu raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemain gitar legenda, Man Kidal, meluahkan rasa lega apabila akhirnya dapat menunaikan hasrat arwah sahabatnya yang dikenali sebagai Kidat untuk menerbitkan sebuah lagu raya berjudul Aspirasi Raya sempena Syawal 2026.

Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 65, berkata lagu tersebut sebenarnya telah lama disimpan sebelum diputuskan untuk diterbitkan tahun ini.

Menurutnya, karya berkenaan merupakan amanah yang pernah disampaikan oleh arwah Kidat kepadanya beberapa tahun lalu.

“Lagu ini sebenarnya sudah empat tahun disimpan. Arwah sahabat saya, Kidat pernah memberi mandat kepada saya untuk menerbitkannya dan mungkin sekarang inilah masa yang paling sesuai.

“Saya hanya menunaikan hasrat arwah. Walaupun dia sudah tiada, sekurang-kurangnya saya dapat melaksanakan amanah yang ditinggalkannya,” katanya.

Tambahnya, hubungan persahabatan dengan Kidat menjadi semakin rapat selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), biarpun arwah bukan seorang pemuzik tetapi amat meminati dunia muzik.

Man berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Aspirasi Raya yang berlangsung di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Lagu tersebut menampilkan gabungan Man Kidal & Friends bersama penyanyi Syamel Amzah.

Dalam pada itu, Man turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Sulaiman selaku Pengarah Timeless Studio yang bertindak sebagai penerbit lagu berkenaan.

Menurut Sulaiman, pihaknya berharap lagu tersebut mampu mendapat tempat di hati pendengar serta menjadi antara lagu pilihan sepanjang sambutan Aidilfitri.

“Timeless Studio merupakan syarikat yang masih baharu bertapak. Kerjasama ini juga diharap dapat membuka peluang untuk kami menerbitkan lebih banyak lagu bersama Man Kidal pada masa akan datang.

“Terima kasih juga kepada Nawy kerana terlibat dalam projek ini dan memberi sokongan kepada kami untuk terus berkarya. Semoga lagu ini mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Sementara itu, Syamel tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila berpeluang bekerjasama dengan pemuzik legenda tersebut.

“Banyak ilmu baharu yang saya peroleh ketika berjumpa dengan abang Man Kidal dan rakan-rakan. Ia satu pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana.

“Saya juga mengambil sedikit masa untuk bersetuju menjayakan projek ini kerana sebelum ini saya lebih selesa melakukan live host berbanding menyanyi secara serius. Namun saya anggap ini sebagai rezeki dan peluang yang sangat berharga,” ujarnya.

Lagu Aspirasi Raya kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN