Lagu raya tidak perlu terlalu kreatif – Noraniza Idris - Utusan Malaysia

Lagu raya tidak perlu terlalu kreatif – Noraniza Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi irama tradisional terkenal, Noraniza Idris berpendapat lagu raya tidak perlu terlalu sarat dengan eksperimen muzik atau mengejar trend semasa kerana genre tersebut mempunyai jiwa dan identiti tersendiri.

Menurutnya, antara lagu raya baharu yang paling digemarinya tahun ini ialah nyanyian Shiha Zikir yang disifatkan mempunyai kekuatan elemen kemelayuan serta alunan yang menyentuh perasaan.

“Lagu raya baharu tahun ini yang paling saya suka dengar ialah lagu Shiha Zikir. Kuat rasa Melayunya. Lenggoknya simple sahaja tetapi alunannya sempurna,” katanya ketika berkongsi pandangan mengenai perkembangan lagu raya masa kini.

Tambah Noraniza, lagu raya seharusnya mengekalkan keindahan melodi serta nuansa tradisional yang telah lama menjadi identiti kepada karya-karya Aidilfitri.

Katanya, usaha untuk terlalu kreatif atau bersaing dengan trend muzik semasa tidak semestinya sesuai dengan semangat lagu raya.

“Lagu raya tidak perlu terlalu kreatif sangat dan tidak perlu bersaing sangat dengan trend sekarang. Lagu raya ada jiwanya tersendiri,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa suasana dan emosi dalam lagu raya berbeza berbanding penciptaan lagu etnik atau irama Malaysia yang lain.

“Lagu raya tidak sama mood dan ‘feel’nya seperti mencipta lagu etnik atau irama Malaysia biasa. Kekalkan sahaja mood dan jiwa lagu-lagu dahulu supaya ia kekal evergreen,” ujarnya.

Dalam masa sama, Noraniza menyifatkan lagu raya sebagai lambang kelembutan jiwa masyarakat Melayu yang sarat dengan emosi dan makna.

“Lagu raya adalah jiwa orang Melayu yang lembut. Ada rasa sayu meninggalkan Ramadan untuk menuju satu kejayaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN