LOS ANGELES: Komposer dan pemenang Anugerah Grammy, Lebohang Morake atau lebih dikenali sebagai Lebo, memfailkan saman terhadap pelawak Learnmore Jonasi berhubung dakwaan salah tafsir terhadap lirik lagu pembukaan filem The Lion King.
Menurut laporan media antarabangsa, Jonasi mencetuskan perhatian umum selepas klip daripada podcast One54 Africa menjadi tular, susulan kenyataannya yang didakwa mengandungi fakta tidak tepat mengenai maksud komposisi ‘Nants’ingonyama’.
Lagu Nants’ingonyama bagithi Baba merupakan antara elemen ikonik yang digunakan dalam filem versi asal 1994 serta adaptasi 2019. Muzik filem tersebut digubah oleh Hans Zimmer, manakala lagu-lagu lain dihasilkan oleh Elton John dan Tim Rice.
Dalam rakaman podcast berkenaan, Jonasi mentafsirkan frasa tersebut sebagai ‘Lihat, ada singa. Ya Tuhan’.
Bagaimanapun, dalam dokumen saman, pihak Morake menegaskan bahawa kenyataan itu disampaikan sebagai fakta, bukannya jenaka, selain didakwa memperlekehkan nilai budaya asal lagu melalui penyampaian yang bersifat berlebihan.
Sehubungan itu, Jonasi berdepan tindakan undang-undang atas dakwaan mengemukakan kenyataan mengelirukan, termasuk pencemaran nama baik perdagangan serta campur tangan yang menjejaskan kepentingan ekonomi.
Morake turut menuntut perbicaraan oleh juri serta ganti rugi sebanyak AS$27 juta (kira-kira RM127 juta).
Menurut tuntutan berkenaan, maksud sebenar frasa ingonyama bagithi Baba ialah ‘Hidup raja, kita semua tunduk di hadapan raja’.











