Komposer ambil bulat-bulat lagu AI itu penipuan - Asfan Shah - Utusan Malaysia

Komposer ambil bulat-bulat lagu AI itu penipuan – Asfan Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA tidak boleh menolak bahawa teknologi janaan kecerdasan buatan (AI) sudah menjadi sebahagian daripada pusat maklumat paling pantas yang boleh didapati hari ini. 

Malah, ia berkembang sangat laju sehingga boleh mengambil alih tugas dan pekerjaan banyak sektor termasuklah industri kreatif. Tidak hairanlah timbul debat menzahirkan kegusaran dan kesannya jika tidak dikawal.

 Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan ada juga komposer yang menangguk di air keruh. Mengumpan pelanggan kononnya sudah siapkan lagu namun rupanya ia adalah hasil daripada janaan AI. Penyanyi dan komposer, Asfan Shah, antara individu yang mengkritik sikap tidak telus segelintir komposer ini.

Menurut Asfan, beliau secara peribadi telah melakukan kajian terhadap muzik yang dihasilkan oleh AI dan mendapati teknologi tersebut masih mempunyai kelemahan ketara, terutamanya daripada sudut teknikal muzik.

“Kita memang tidak boleh lari daripada arus teknologi. Sekarang pun ramai yang sudah menggunakan ChatGPT, malah ada yang mahu bertanya doktor pun akan rujuk ChatGPT dahulu.

“Namun untuk penghasilan muzik, saya sudah kaji. AI tetap melakukan kesilapan. Ada nota-nota yang bertindih atau tidak harmoni. Perkara ini orang awam mungkin tidak perasan, tapi telinga pemuzik pasti boleh tangkap,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bukanlah menolak bulat-bulat kewujudan AI, bagi penyanyi Alasan Untuk Bahagia ini, pengkarya boleh sahaja menjadikan teknologi sebagai rujukan untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

Namun, janganlah ambil bulat-bulat apa yang disajikan AI dan jual kepada pelanggan, perkara itu menurut Asfan tindakan yang tidak telus.

“Bagi saya, itu satu penipuan. Macam mana kita mahu mengaku itu karya kita sedangkan kita cuma masukkan arahan atau ‘prompt’ sahaja kepada mesin?

“Janganlah ambil bulat-bulat hasil daripada AI, kemudian letak nama sendiri dan jual dengan harga sekian-sekian. Itu tidak amanah terhadap bakat yang dikurniakan,” tegasnya.

Jiwa, dinamik dalam lagu

Menyentuh mengenai perbezaan antara karya manusia dan mesin, Asfan berkata elemen paling besar yang hilang dalam muzik AI adalah ‘jiwa’ dan dinamik.

Jelasnya, sebuah lagu yang dihasilkan melalui perahan emosi manusia mempunyai roh yang tersendiri yang mampu menyentuh sanubari pendengar, berbeza dengan susunan algoritma mesin.

“AI ini kurang satu benda sahaja, iaitu dia tiada ‘jiwa’. Dia tiada dinamik emosi. Kalau sekadar dengar santai-santai, mungkin orang nampak macam sedap.

“Tetapi bagi kita yang sudah biasa dalam industri, kita tahu ini susunan muzik AI, ini suara AI. Ia kedengaran mekanikal dan kosong,” ujarnya.

Beliau turut memberikan contoh bagaimana lagu-lagu artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ziana Zain sering diubah suai menggunakan suara AI oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga tular di media sosial.

Walaupun ada susunan muzik AI yang kedengaran hebat seperti versi funk bagi lagu balada 90-an, namun Asfan mengingatkan bahawa ia akhirnya terpaksa dipadamkan kerana melanggar hak cipta.

“Isu royalti ini sangat kritikal. Jika kita biarkan semua orang menjadi komposer hanya dengan menggunakan AI, maka nilai profesion ini akan hilang.

“Sebab itu saya sangat menyokong garis panduan yang dikeluarkan oleh Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) Berhad yang menetapkan hanya ciptaan manusia sahaja layak didaftarkan untuk royalti,” katanya.

Asfan turut menyeru rakan komposer agar menghormati kraf seni dan mencontohi komposer otai seperti Allahyarham Adnan Abu Hassan yang menghasilkan karya melalui kemahiran dan ilmu muzik yang mendalam.

“Komposer legenda seperti Abang Adnan Abu Hassan tidak akan gunakan AI. Mereka gunakan kemahiran, pengalaman dan perasaan mereka untuk melahirkan lagu yang malar segar.

“Dulu, jika mahu buat sebuah demo lagu, kita perlukan pasukan yang besar. Kena panggil pemain gitar, pemain dram dan rakam secara organik. Sekarang, dengan ‘prompt’ sahaja sudah boleh siap satu lagu,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN