KUALA LUMPUR : Pengarah dan penerbit terkemuka, Ahmad Idham Ahmad Nadzri tampil membuat permohonan maaf susulan pelbagai reaksi yang timbul berhubung kenyataannya mengenai isu kesesakan lalu lintas di sekitar Kota Damansara.
Menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, Ahmad Idham menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat sebelum ini tidak pernah berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Menurutnya, jika kenyataan tersebut dibaca dalam konteks sebenar, ia tidak ditujukan kepada mana-mana individu mahupun syarikat tertentu.
“Secara peribadi, jika benar-benar membaca konteks kenyataan itu, ia tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau syarikat tertentu.
“Namun sekiranya ada pihak yang mungkin tersalah tafsir terhadap apa yang saya tulis, saya ingin memohon maaf kerana itu bukan niat saya,” katanya.
Tambah Idham, hantaran tersebut dibuat sebagai usaha memberi kesedaran kepada sebahagian pengguna jalan raya yang didakwa masih tidak mematuhi peraturan.
“Niat sebenar saya adalah kerana rasa kesal dan kecewa apabila pada tahun 2026 ini kita masih berdepan dengan sikap segelintir pemandu atau pemilik kenderaan yang mementingkan diri sendiri.
“Kita berhadapan dengan pemandu yang tidak memahami undang-undang serta sewenang-wenangnya menghalang laluan orang ramai di premis tertentu,” jelasnya.
Pengarah filem Impak Maksima itu turut memaklumkan situasi berkenaan memberi kesan kepada sebuah sekolah pendidikan khas yang diusahakannya di kawasan tersebut.
Katanya, laluan ke premis berkenaan sering dihalang oleh kenderaan pihak tertentu sehingga menyukarkan urusan harian, termasuk melibatkan murid berkeperluan khas.
“Bayangkan saya mempunyai sebuah sekolah pendidikan khas dan dalam premis itu terdapat ramai murid berkeperluan khas. Namun ada pihak yang tanpa rasa bersalah menghalang laluan tersebut, bukan sehari dua, tetapi sudah berbulan-bulan.
“Tindakan sudah diambil, namun pemandu serta pemilik kenderaan yang melalui laluan itu seolah-olah masih tidak mempunyai kesedaran,” ujarnya.
Terdahulu, luahan Ahmad Idham mengenai isu kesesakan lalu lintas itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai termasuk usahawan kosmetik, Aliff Syukri Kamarzaman serta isterinya, Shahida Mohd Rashid, yang turut menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.










