Kami sedang tunggu jawapan SM Entertainment - MFMF - Utusan Malaysia

Kami sedang tunggu jawapan SM Entertainment – MFMF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM beberapa tahun sahaja, MFMF yang diterajui Brendan Lim dan Zen berjaya meletakkan posisi sebagai antara komposer dan penerbit lagu paling berpengaruh di Malaysia. MFMF mula menjadi pilihan artis nama besar negara, sekali gus membuktikan kreativiti mereka menerusi deretan lagu tular mereka seperti Stop Lah Being So Cute, Peluang Kedua, Lara dan Sutera (sekadar menyebutkan beberapa).

Keberadaan MFMF tidak hanya dibuktikan dengan lagu yang tular dan anugerah yang diterima, malah mempunyai pengaruh besar di aplikasi media sosial menerusi segmen Healing, iaitu siri menyadur semula lagu popular bersama penyanyi tempatan dengan gaya dan cara tersendiri. Pendek kata, mereka tahu bagaimana memulakan sebuah trend muzik yang tular, persoalannya sejauh formula lagu ‘laris manis’ boleh dibaca pengkarya? Jawablah Brendan!

Selepas hasilkan deretan lagu viral, potensi lagu yang tular itu kita boleh nilai di mana? Trend, lagu atau pada penyanyinya?

Masa tulis lagu, kita memang tidak letak harapan. Selalu dalam sesi studio kita hanya mahu buat yang terbaik daripada lagu sebelum ini. Cuma kadangkala kita ada naluri, kita nampak potensi. Gandingan lagu dan penyanyi memang sangat penting. Penyanyi yang bagus dia memang berjaya sampaikan makna lagu sehingga pendengar boleh rasa.

Ada atau tidak artis yang datang dan minta lagu dekat anda yang ‘pasti viral’? Seolah-olah lagu viral itu diserahkan di atas bahu anda seorang. Kalau ada, macam mana berhadapan situasi itu?

Saya fikir itu perkara biasa, tapi bukanlah artis. Lebih kepada pihak pengurusan atau agensi bakat. Semua mahu lagu viral dan kita akan hasilkan sesuatu yang mesra pendengar tapi akan melalui perbincangan seperti fahamkan perjalanan cerita lagu, dan juga visual yang dihasilkan kena selari. Semua pihak kena faham komponen penting untuk sama-sama jayakan sesuatu karya.

Sebagai komposer, anda pernah berada dalam situasi lelah (burnt out) dalam melakukan proses kreatif?

Kami di MFMF tidak pernah berhadapan situasi itu tapi tidak menafikan ramai kawan komposer lain yang ‘barai’. Mungkin sebab kerja banyak dan mereka tidak dapat hendak berikan potensi sebenar. Daripada segi kerja tidak pernah, tapi daripada segi kandungan media sosial, ya pernah. Sebab itu, kami pernah hentikan sekejap siri ‘Healing’ di media sosial

Tentang itu, sebelum ini anda cakap siri ‘Healing’ itu ada falsafah tersendiri. Cuba cerita sikit kenapa ‘cuti’ daripada buat video dan muncul semula.

Asalnya siri itu buat santai-santai sahaja, sebab hendak nyanyi dengan kawan-kawan artis. Sesi yang kami boleh bebas mahu bernyanyi cara macam mana. Itu cara saya dan kawan berseronok. Semakin lama, tidak sangka peti mesej makin banyak apabila ramai berminat mahu ikut serta.

Saya buat saja-saja dan tidak pernah minta duit sesiapa untuk buat kandungan itu. Cuma sampai masa apabila kerja banyak, saya sedar tidak mampu buat yang terbaik untuk kandungan itu. Saya serba salah sebab Healing patut jadi perkara bermakna untuk kawan-kawan namun mula rasa terpaksa. Sebab itu, saya berhenti sekejap sampai saya boleh aturkan sistem lebih baik macam sekarang

Bayaran komposer dan penerbit lagu dekat Malaysia ini boleh kata lumayankah?

Bergantung kepada royalti sama ada lagu itu terkenal atau tidak. Lagu popular, lagi banyak kita dapat. Cuma saya tidak boleh mewakili orang lain, tapi sebagai MFMF, cukup menampung studio. Sukar juga hendak ada sistem rate card untuk komposer sebab bergantung juga kepada senioriti. Harga dan pengalaman mereka tidak boleh sama dengan komposer baru.

Lagu paling mahal awak pernah hasilkan?

Paling tinggi mungkin RM30,000 untuk kita jadikan komersial. Tapi jumlah lain akan menyusul hasil kutipan sama ada lagu itu viral dan kutip hasil royalti. Kalau itu, boleh cecah sampai enam angka.

Apa lagi misi MFMF selepas ini?

Kami mahu naikkan lagi industri muzik di Malaysia ini ke tahap antarabangsa. Mungkin ramai tidak tahu tapi kita memang tulis banyak demo untuk K-Pop. Saya tidak boleh sebut lagu untuk siapa tapi untuk syarikat SM Entertainment. Sejak tiga tahun lalu kita cari peluang dan kita sudah di tahap mereka dengar demo. Sekarang tunggu respons daripada pihak mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN