Jamal Abdillah tidak paksa anak ikut jejak langkah - Utusan Malaysia

Jamal Abdillah tidak paksa anak ikut jejak langkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Penyanyi legenda tanah air, Jamal Abdillah menegaskan dia tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk mengikuti jejak langkah sebagai penyanyi walaupun bakat muzik jelas mengalir dalam keluarga.

Menurut Jamal, minat terhadap muzik memang sudah sebati dalam diri anak-anaknya termasuk penyanyi muda, Zaki Yamani yang sering dikatakan mempunyai gaya nyanyian mirip dirinya.

“Kalau orang kata Zaki meniru gaya atau suara saya, bagi saya itu perkara biasa. Kalau dia mengajuk sesuatu yang positif, tidak mengapa,” katanya.

Tambah Jamal, bakat seni anaknya itu sebenarnya sudah dapat dilihat sejak usia kecil lagi.

“Sejak kecil saya sudah perasan dia ada bakat. Waktu umur empat tahun pun dia sudah suka menyanyi dan menari di depan cermin sambil meniru gaya penyanyi seperti Michael Jackson,” katanya.

Menurutnya, persamaan suara antara dirinya dan Zaki mungkin berpunca daripada faktor genetik yang diwarisi secara semula jadi.

“Bila orang kata dia seperti saya, itu mungkin kerana bentuk suara atau ‘kotak suara’ yang diwarisi daripada keturunan,” katanya.

Jamal bagaimanapun mengakui masih ada pihak luar yang salah faham dengan menganggap anaknya sengaja meniru gaya nyanyiannya.

“Kadang-kadang orang luar tidak faham dan menganggap dia sengaja meniru. Hakikatnya mungkin kerana dia memang meminati bapanya sendiri.

“Contohnya anak saya Osama, biliknya penuh dengan poster dan lagu-lagu saya. Dia sangat meminati saya sebagai penyanyi. Jadi tidak hairanlah kalau gaya nyanyian atau pergerakan itu sedikit sebanyak terikut,” katanya.

Walaupun anak-anaknya menunjukkan minat terhadap muzik, Jamal menegaskan dia tidak mahu menentukan masa depan mereka secara paksa.

“Anak-anak saya yang lain juga semuanya minat muzik. Ada yang suka main drum, ada yang suka piano. Saya pernah hantar mereka ke kelas muzik ketika kecil.

“Tetapi sekarang saya tidak mahu memaksa mereka ikut acuan saya,” katanya.

Menurutnya, sebagai bapa dia lebih mengutamakan pendidikan anak-anak agar mereka mempunyai asas kehidupan yang kukuh.

“Kalau ikut hati mungkin saya mahu seorang jadi peguam, seorang lagi jadi doktor haiwan. Tetapi kita tidak boleh menentukan masa depan mereka.

“Mereka akan membentuk jalan hidup sendiri. Yang penting saya beri asas pendidikan yang baik. Akademik mesti dijaga dan sekurang-kurangnya mereka perlu belajar hingga ke peringkat kolej atau setinggi yang mereka mahu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN