Imej eksklusif Scha, Hael jadi pilihan Amber LUXE - Utusan Malaysia

Imej eksklusif Scha, Hael jadi pilihan Amber LUXE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jenama fesyen tempatan, Amber memilih pelakon dan pengacara popular, Scha Alyahya serta penyanyi Hael Husaini sebagai wajah kempen raya terbaharu mereka, Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection.

Pemilihan kedua-dua selebriti berkenaan dibuat berdasarkan imej eksklusif, minimalis dan elegan yang dilihat selari dengan konsep koleksi tersebut.

Menurut Amber, Scha dan Hael bukan sahaja dipilih kerana populariti, tetapi juga cara mereka membawa diri, personaliti serta ketelitian dalam memilih jenama yang menepati definisi “Luxe” yang ingin diketengahkan melalui kempen berkenaan.

Kempen Amber LUXE memperkenalkan koleksi raya eksklusif dengan rekaan ringkas namun mewah, menekankan kualiti fabrik, potongan kemas serta sentuhan moden yang sesuai digayakan oleh pelbagai peringkat usia.

Koleksi ini dihasilkan menggunakan fabrik satin mewah dan chiffon sutera ringan, selain menampilkan perincian lipatan kemas, ruffle romantik serta sentuhan reben elegan yang memberi aura eksklusif tanpa mengabaikan elemen keselesaan.

Bagi koleksi wanita, lima rekaan utama diperkenalkan iaitu Melis, Esma, Ruya, Ela dan Leyla.

Sementara itu, koleksi lelaki menampilkan tiga set Baju Melayu moden iaitu Orhan, Azra dan Demir yang direka dengan potongan minimalis serta kemasan premium.

Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan berkata konsep Amber LUXE menekankan kemewahan dalam bentuk yang ringkas dan tidak keterlaluan.

Menurut beliau, imej Scha dan Hael dilihat paling sesuai bagi mewakili konsep tersebut.

“Kalau kita lihat Amber LUXE, ia sangat ringkas tetapi tetap nampak mewah. Sebab itu saya rasa konsep ini sangat bertepatan dengan Scha dan Hael. Bila mereka menggayakannya, semuanya nampak tepat.

“Luxe bukan bermaksud status semata-mata, tetapi lebih kepada tekstur kain, pemilihan rekaan dan keseluruhan rasa pakaian itu. Cara kita membawa diri dan pakaian itu sendiri perlu seiring,” katanya.

Beliau berkata, koleksi Amber LUXE dihasilkan untuk semua golongan dan tidak hanya tertumpu kepada segmen premium walaupun menampilkan sentuhan eksklusif.

“Amber LUXE untuk semua. Kita mahu nampak eksklusif tetapi masih mampu milik. Luxe bukan sekadar mahal, tetapi pada kualiti, rekaan dan pengalaman apabila memakainya,” ujarnya.

Tambah Adzliana, penerimaan pelanggan terhadap jenama Amber juga menunjukkan perkembangan positif, termasuk selepas pembukaan butik baharu di IOI City Mall, Putrajaya yang mendapat sambutan memberangsangkan.

“Sambutan sangat baik. Walaupun Amber bukan jenama paling besar, pelanggan datang melihat sendiri koleksi dari awal hingga sekarang. Penerimaan masyarakat sangat positif,” katanya.

Sementara itu, Scha Alyahya menyifatkan peluang menjadi wajah Amber LUXE sebagai satu penghargaan terhadap perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan dan perniagaan.

“Bagi saya, ‘Luxe’ bukan sahaja pada pakaian tetapi bagaimana kita membawa diri. Saya seorang yang santai, tetapi sangat teliti dalam memilih kerja dan jenama.

“Sebab itu apabila diberi peluang ini, saya rasa ia satu penghargaan terhadap apa yang saya bina selama ini,” katanya.

Menurut Scha, konsep Amber LUXE juga menarik kerana memberi peluang kepada orang ramai merasai pakaian eksklusif dengan harga berpatutan.

Hael Husaini pula berkata koleksi Amber LUXE menerima sambutan memberangsangkan daripada peminat, termasuk ketika diperkenalkan di acara CelebFest di Singapura baru-baru ini.

“Alhamdulillah, untuk koleksi kali ini sambutan sangat baik. Ada rekaan yang cepat habis dijual, terutama ketika acara di Singapura. Saya rasa peminat Amber memang menunggu koleksi seperti ini,” katanya.

Kesemua koleksi Amber Raya 2026 boleh didapati menerusi laman web rasmi Amber serta di butik Amber di IOI City Mall, Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN