KUALA LUMPUR: Nostalgia kegemilangan muzik tempatan era 1990-an kembali bergema apabila penyanyi Heyda Hafeey tampil menghidupkan semula lagu popular Zapin Usik Mengusik menerusi versi baharu berjudul Zapin Usik Mengusik 2.0.
Lagu yang pernah mencetuskan fenomena sekitar tahun 1998 itu asalnya dipopularkan oleh penyanyi remaja ketika itu, Haida, bersama kumpulan komedi terkenal, Senario. Ketika itu, Haida yang baru berusia 17 tahun berjaya mencuri perhatian ramai apabila lagu tersebut menjadi siulan di stesen radio dan sering diperdengarkan dalam pelbagai majlis keramaian di seluruh negara.
Selepas lebih dua dekad berlalu, penyanyi yang pernah mencetuskan sensasi itu kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan identiti baharu apabila kini memilih nama pentas Heyda Hafeey.
Sebagai langkah memperkenalkan kembali dirinya kepada peminat muzik tempatan, Heyda mempertaruhkan Zapin Usik Mengusik 2.0 yang diberikan sentuhan baharu tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Lagu ciptaan asal Budeen itu digubah semula oleh pemuzik berpengalaman, Datuk Indra. Versi terkini tampil dengan konsep Ethnic Fusion yang menggabungkan elemen tradisional bersama susunan muzik moden yang lebih segar dan rancak, sekali gus menjadikannya lebih sesuai dengan selera pendengar masa kini.
Lebih istimewa, karya berkenaan turut menampilkan kolaborasi bersama penyanyi rock popular, Lan Solo. Gabungan vokal kedua-dua penyanyi itu memberikan warna baharu kepada lagu yang pernah menjadi antara karya ikonik muzik tempatan suatu ketika dahulu.

Menurut Heyda, pemilihan lagu tersebut untuk dirakamkan semula mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan karier seninya.
“Lagu ini merupakan ‘pintu’ yang memperkenalkan saya kepada industri muzik Malaysia. Rakaman semula ini bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi juga usaha untuk menyesuaikannya dengan perkembangan muzik semasa tanpa menghilangkan elemen tradisional yang menjadi identiti asal lagu ini,” katanya.
Proses pembikinan lagu itu dimulakan sejak tahun lalu di bawah terbitan Heyda Entertainment dengan sokongan syarikat penerbitan muzik, Luncai Emas Sdn. Bhd.
Dilahirkan pada 16 Januari 1981 di Port Klang, Selangor, penyanyi yang memiliki nama sebenar Noor Haida Mohd. Idris itu mula menonjolkan bakat seni sejak usia lima tahun menerusi rancangan Kids Club di Angkasapuri.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan seni dengan bernaung di bawah label Ambang Klasik dan Suria Records (SRC) serta pernah menghasilkan beberapa album antaranya Abadi dan Arena Rambong.
Selepas berehat seketika daripada industri, Heyda kembali aktif menerusi lagu 5 Tahun Saja sebelum kini tampil dengan semangat dan imej lebih matang bagi meneruskan kerjaya seninya.
Zapin Usik Mengusik 2.0 kini dilancarkan sebagai buah tangan terbaharu daripada Heyda Entertainment buat peminat muzik tanah air.










