PETALING JAYA: Pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming kesal dengan tindakan pihak yang tidak berganggungjawab menggunakan identitinya di media sosial untuk memperdaya orang lain.
Bimbang dengan situasi tersebut, Aming turut menyeru kepada orang ramai untuk lebih berwaspada supaya tidak menjadi mangsa penipuan individu berkenaan.
“Baru balas dua saat dah padam. Tolong berhati-hati semua,” katanya di Threads.
Aming yang turut berdepan dengan isu penipuan melibatkan restoran miliknya, Rembayung itu bagaimanapun berharap agar pengikutnya tidak mudah terpedaya dengan sebarang mesej atau tawaran daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali.
“Jangan mudah percaya dengan scammers ini. Isu scammer Rembayung belum habis, ini tambah lagi scammer touch n go,” katanya lagi.
Aming berkata demikian selepas menyedari akan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memperdayakan orang ramai dengan menggunakan namanya di platform berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berharap lebih ramai pengguna media sosial berhati-hati dengan taktik penipuan yang semakin berleluasa selain meminta pengikut Aming membuat aduan terhadap akaun berkenaan.










