Hampir terbakar rumah orang, masa kecil saya nakal - Zarif Ghazzi - Utusan Malaysia

Hampir terbakar rumah orang, masa kecil saya nakal – Zarif Ghazzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon,  Zarif Ghazzi berkongsi pengalaman kenakalan zaman kanak-kanaknya yang hampir mencetuskan kebakaran ketika menyambut Aidilfitri.

Mengimbau kembali detik tersebut, Zarif mengakui peristiwa itu menjadi antara kenangan paling tidak dapat dilupakan sepanjang hidupnya.

“Saya pernah hampir membakar rumah orang. Waktu itu saya dengan kawan, saya sudah beritahu dia jangan bakar pokok tebu sebab pokok itu sudah tua. Tetapi dia tetap bakar dan api semakin marak.

“Sepatutnya saya bantu, tetapi saya lari ke rumah jiran dan beritahu bahawa dia yang bakar, bukan saya. Yang penting masa itu saya mahu selamatkan diri dan nama sendiri,” katanya sambil ketawa mengenang kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dirinya masih di bangku sekolah rendah.

“Saya memang nakal waktu kecil, terutama masa nak sambut raya. Itu memang waktu budak-budak seronok, jadi banyak perkara yang kita buat tanpa fikir panjang,” ujarnya.

Walaupun pernah melalui pengalaman sedemikian, Zarif kini lebih matang dan mengutamakan nilai kekeluargaan dalam menyambut Aidilfitri.

Berasal dari Melaka dan Johor, Zarif menjelaskan bahawa tradisi pulang ke kampung lebih awal masih diamalkan setiap tahun.

“Kalau boleh sehari atau dua hari sebelum raya kami sudah balik kampung. Semua akan berkumpul dan buat persiapan bersama seperti bakar lemang dan anyam ketupat. Jadi bila hari raya, kami makan makanan yang dimasak sendiri. Itu yang saya rasa paling bermakna,” katanya.

Selain itu, tambah Zarif, suasana lebaran baginya tidak banyak berubah walaupun kini bergelar selebriti.

“Bagi saya, raya tetap sama. Apa pun status kita, keluarga tetap keutamaan. Kita tidak akan layan keluarga seperti peminat. Cuma sekarang ini, anak-anak saudara sudah pandai ‘claim’ duit raya walaupun saya belum berkahwin,” katanya berseloroh.

Zarif juga berkongsi bahawa setiap tahun setelah bekerja, sekitar RM5,000 diperuntukkan untuk duit raya bagi kedua-dua belah keluarga di Melaka dan Johor.

“Memang saya sediakan lebih kurang RM5,000 untuk keluarga dan saudara-mara. Setiap tahun jumlah itu terasa makin besar sebab anak saudara semakin ramai,” jelasnya.

Dari segi lokasi sambutan, Zarif lebih selesa mengekalkan privasi keluarga, khususnya ketika berada di Johor.

“Peminat cuma tahu saya berada di Johor Bahru, tetapi lokasi sebenar saya tidak dedahkan. Saya utamakan keselamatan keluarga. Namun, kalau orang kampung atau kenalan yang tahu, mereka memang dialu-alukan datang beraya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN