Hakikatnya mak, abah sudah pergi - Utusan Malaysia

Hakikatnya mak, abah sudah pergi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah menyambut hari raya apabila kita baru melalui fasa kehilangan insan tersayang.

Ada yang memilih untuk langsung tidak merayakan kerana kesedihan yang masih mencengkam.

Demikian juga yang dilalui pasangan penghibur adik beradik kesayangan rakyat Malaysia, Ziana Zain, 57 dan Anuar Zain, 56, yang tahun ini menyambut Syawal dalam suasana yang amat berbeza.

Kemeriahan hari raya mereka tidak lagi sama tanpa dua insan tercinta iaitu ayah dan ibu mereka, Allahyarham Zain@Zin Abdullah dan Allahyarham Robiah Abdul yang masing-masing pergi bertemu Ilahi pada tahun lalu.

Anuar sebenarnya, sejak 10 tahun lalu, sudah tertanya-tanya dalam fikirannya tentang persoalan, apa akan jadi kalau mak dan ayah mereka satu hari nanti tiada.

Pertanyaan itu semakin mendesak jawapan ketika mak dan ayahnya bertambah usia selain diuji masalah kesihatan.

Namun, Allah lebih tahu. Tertulis dalam suratan takdir yang akhirnya, dua insan tersayang mereka ‘pergi’ lebih dulu.

“Pada sudut emosi, sebenarnya saya sudah bersedia awal kerana hampir sedekad saya tertanya-tanya apa jadi kalau mak ayah sudah tiada. Jadi sebab itu saya tidak boleh terlalu bersedih dan kena pilih untuk kuat.

“Ada banyak ketika saya gagal tahan kesedihan. Iyalah bukan mudah untuk terima hakikat yang mak ayah kita sudah tiada. Saya pula hanya manusia biasa, ada hati dan perasaan.

“Tapi pada hari raya ini, saya pilih untuk menahan, tidak mahu terus bersedih. Sebab itu saya sangat bersyukur kerana Allah S.W.T mencampakkan ke dalam diri saya dan adik beradik lain kekuatan,” katanya.

Mengimbau kenangan merayakan Aidilfitri pada tahun-tahun sudah, Anuar mengakui antara perkara yang menambah keterujaan adalah juadah air tangan ibu dan ayah yang sentiasa dinantikan.

“Paling dinantikan adalah menu daging dendeng, kuah kacang daging, ayam masak merah, nasi jagung dan pelbagai lagi juadah yang selalu disediakan mak pada hari raya.

“Soal makan, orang tua kami tidak pernah berkira. Mereka selalu memuliakan tetamu dengan juadah yang sentiasa menjadi permintaan ramai di hari raya. Sampaikan ada kawan saya yang sanggup datang tiga hari berturut-turut kerana berselera makan masakan mak.

“Tapi saya rasa amat bersyukur kerana air tangan arwah mak itu jatuh kepada adik beradik perempuan saya. Mereka mewarisi kebolehan mak. Mungkin bukan semua menu sempat diturunkan, tapi kebanyakannya sama dengan masakan mak.Sebab itu, saya bersyukur kerana dapat menikmati masakan mak menerusi masakan adik beradik perempuan saya,” ceritanya.

Terasa kehilangan – Ziana Zain 

Seringkali, jika diaju sahaja pertanyaan mengenai arwah bapa dan ibu, air mata wanita ini tidak akan tertahan-tahan mengalir laju. Jiwanya rapuh jika nama dua jantung hatinya itu meniti di bibir kerana ia sekali gus menyedarkan dirinya bahawa insan-insan itu sudah tidak lagi berada di sisi.

Ini kerana bagi Ziana, walaupun masa terus berlalu, kehilangan itu masih terasa sangat dekat di hati dan kenangan bersama arwah mak dan abah seolah-olah sentiasa sahaja bermain di fikiran.
“Ini kali pertama kami beraya tanpa mak dan abah. Terus-terang, perasaan itu memang sukar digambarkan. Kadang-kadang apabila masuk bulan puasa, saya rasa macam ada sesuatu yang hilang.

Dulu waktu Ramadan dan menjelang Aidilfitri, mak sudah sibuk di dapur, memasak.Sekarang apabila saya tengok dapur rumah mak itu, terasa sunyi sebab orang yang selalu ada di situ sudah tiada.

Mak biasanya pukul 6 atau 6.15 sudah siap hendak ke surau. Abah pula sibuk bersiap pakai baju Melayu. Kadang-kadang dia tercari-cari butang baju, kelam-kabut sikit. Benda-benda kecil macam itu yang sebenarnya buat kita sedar betapa besarnya kehil­angan ini.

“Sekarang, siapa lagi orang tua yang kita mahu salam di pagi raya macam tempoh hari?” Luahnya dalam nada perlahan.

Hakikat kehilangan itu juga membuatkan Ziana dan adik-beradiknya membuat satu keputusan yang agak berat tahun ini iaitu dengan tidak menyambut Aidilfitri di rumah keluarga seperti kebiasaan.

Menurutnya, rumah itu terlalu sarat dengan kenangan bersama arwah ibu dan bapanya sehingga mereka masih belum kuat untuk menghadapinya.

“Terus terang saya cakap, kami memang tidak sanggup beraya di rumah tahun ini. Mahu bermalam pada malam raya pun rasa tak boleh. Rumah itu terlalu banyak kenangan dengan mak dan abah.

“Jadi kami lima beradik sepakat pergi ke tempat lain dulu. Bukan sebab hendak lari daripada kenangan, tapi sebab hati ini masih belum kuat untuk hadapi suasana pagi raya tanpa mereka.

“Apabila kita bercakap tentang perkara ini pun sudah rasa sebak. Jadi kami fikir mungkin lebih baik berkumpul di tempat lain buat semen­tara waktu. Seku­rang-kurang­nya kami masih bersa­ma adik-beradik,” luahnya.

Ibu, Abah yang luar biasa 

Bercerita tentang arwah bapanya pula, Ziana menyifatkan lelaki itu sebagai seorang ayah yang sangat penyayang dan bertanggungjawab.

Malah menurutnya, banyak perkara yang dilakukan oleh arwah bapanya yang sukar ditemui dalam kehidupan atau lelaki pada masa kini.

“Abah saya seorang yang sangat luar biasa. Dia bukan saja bekerja keras sebagai anggota polis, tapi dia juga boleh memasak, menjahit dan uruskan rumah.

“Masa mak berpantang dulu, kami tiada pembantu. Abah yang mandikan mak, mandikan anak-anak, sapu rumah, mop lantai dan siapkan makanan sebelum pergi kerja. Itu semua saya nampak sendiri.

“Sampai sudah tua pun abah masih fikirkan cucu-cucu. Kadang-kadang dia hulur duit untuk beli ayam atau makanan untuk cucu. Kami kata tak perlu sebab anak-anak semua sudah bekerja, tapi dia tetap suruh ambil.

“Dia kata itu duit pencen dia, dia hendak gunakan untuk keluarga. Walaupun sudah tidak larat, fikiran dia masih pada anak cucu,” katanya lagi.

Walaupun kedua-dua ibu bapanya sudah tiada, Ziana mengakui nilai kehidupan yang mereka tinggalkan masih menjadi panduan dalam hidupnya hingga hari ini.

Menurutnya, arwah ibunya sering mengingatkan anak-anak tentang pentingnya menjaga hati.

“Mak selalu pesan, kalau ada duit lebih bersedekah. Jangan tamak. Biar orang dapat lebih sedikit daripada kita pun tidak apa, asalkan hidup kita berkat.Mak juga selalu ingatkan supaya jangan dengki dengan orang lain dan jangan bersangka buruk. Dia kata hati manusia ini susah hendak dididik, jadi kita kena sentiasa jaga hati.

“Mak selalu kata memaafkan orang tidak akan merugikan kita. Kadang-kadang orang buat kita sakit hati, tapi mak tetap pesan supaya maafkan. Sebab itu, sampai sekarang kalau orang buat apa pun pada saya, saya cuba maafkan. Saya ingat balik kata-kata mak,” katanya.

Menurutnya, nilai kesederhanaan dan sikap pemaaf yang diamalkan oleh arwah ibu bapanya juga membuatkan mereka dihormati ramai.

“Mereka memang orang yang sangat pemaaf. Kadang-kadang orang yang pernah buat mereka susah hati datang balik ke rumah, mereka tetap sambut dengan baik. Kami yang marah, tapi mak cuma kata biarlah, Allah ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN