‘Goyang Raya’ satukan Meer Nash, kumpulan 1119 raikan kepelbagaian budaya - Utusan Malaysia

‘Goyang Raya’ satukan Meer Nash, kumpulan 1119 raikan kepelbagaian budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suku pertama tahun 2026 menyaksikan keunikan budaya di Malaysia apabila sambutan Tahun Baru Cina berlangsung seiring dengan kehadiran bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Mengambil semangat pertembungan dua perayaan besar ini, kumpulan 1119 (Triple1nine) tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul ‘Goyang Raya’ yang turut menampilkan kolaborasi bersama Meer Nash, Aniez dan Zac Zac.

Sejak dilancarkan, muzik video lagu tersebut berjaya mencuri tumpuan ramai apabila meraih hampir 100,000 tontonan di YouTube dalam tempoh hanya dua hari.

Menurut Meer Nash, kolaborasi ini adalah pilihan yang sangat tepat kerana ia mencerminkan identiti dirinya sebagai anak kacukan Melayu dan Cina.

“‘Goyang Raya’ ialah lagu raya pertama saya selepas 11 tahun berada dalam industri. Saya sangat suka bagaimana ia menunjukkan sisi berbilang kaum di negara kita.” katanya.

Bagi ahli kumpulan 1119, Eugene, penglibatan dalam projek ini memberi peluang kepadanya untuk mempelajari tarian tradisional Melayu yang disifatkan mempunyai cabaran tersendiri.

“Mempelajari tarian tradisional Melayu agak sukar kerana ia memerlukan kelembutan dan keanggunan yang sangat berbeza daripada tarian K-pop atau persembahan Tahun Baru Cina yang biasa kami lakukan. Namun, pengalaman ini membuatkan saya merasai semangat perayaan Raya yang lebih kuat dan bermakna,” katanya.

Selain menampilkan penguasaan bahasa Melayu yang fasih, ‘Goyang Raya’ turut menggabungkan resonansi muzik tradisional dengan elemen moden, sekali gus menterjemahkan keharmonian kaum di Malaysia dalam bentuk karya seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN