Gayong 2 kembali gegar pawagam, tampil lebih epik dan beremosi - Utusan Malaysia

Gayong 2 kembali gegar pawagam, tampil lebih epik dan beremosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas mencatat kejayaan memberangsangkan menerusi filem Gayong yang meraih kutipan melebihi RM4 juta pada tahun lalu, kesinambungan naskhah tersebut kini diumumkan secara rasmi.

Filem Gayong 2 dijangka kembali menggegarkan layar perak dengan skala lebih besar, penceritaan lebih mantap serta aksi yang lebih mendebarkan, sekali gus menjanjikan pengalaman sinematik yang lebih epik kepada penonton.

Menurut pihak produksi, filem terbaharu ini turut mendapat sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran, sekali gus memperkukuhkan lagi strategi promosi menjelang tayangannya.

Dalam filem pertama, penonton dibawa menyusuri perjalanan awal tokoh persilatan tersohor, Datuk Meor Abdul Rahman dalam mempertahankan maruah, warisan serta jati diri bangsa melalui ilmu Silat Gayong.

Kisah sarat perjuangan dan pengorbanan itu berjaya menyentuh emosi serta meninggalkan impak mendalam kepada khalayak.

Bagi sekuel kali ini, jalan cerita dilihat lebih mencabar dengan konflik yang semakin kompleks serta taruhan yang lebih tinggi. Elemen aksi turut dipertingkatkan, di samping penceritaan yang lebih padat dan menyeluruh.

Watak utama Datuk Meor Abdul Rahman sekali lagi dihidupkan oleh pelakon berbakat, Beto Kusyairi yang dijangka menampilkan penghayatan lebih mendalam dan penuh emosi, sekali gus memberi dimensi baharu kepada figura legenda tersebut.

Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan Gayong 2 yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 April ini.

Naskhah ini bukan sahaja menawarkan aksi yang mendebarkan, malah sarat dengan semangat perjuangan dan nilai warisan bangsa yang wajar dihargai serta dibanggakan.

Untuk perkembangan lanjut, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi Primeworks Studios.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN