PETALING JAYA: Penyanyi, Fyna Jebat, menunggu masa sesuai untuk berkongsi dengan lebih lanjut mengenai pendedahannya berhubung tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didakwa ‘menyimpannya’ selama empat tahun.
Buat masa ini, Fyna atau Nur Syafinaz Jebat, 33, sedang sibuk menguruskan anaknya dan belum berkesempatan untuk ditemu bual pihak media.
“Sekarang saya sedang menguruskan keluarga. Saya akan berbual sekiranya berkelapangan,” kata penyanyi itu ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, kakak kepada Fyna, yang juga selebriti Ayda Jebat, memilih untuk tidak mengulas mengenai kenyataan yang dikongsi sebelum ini.
Menurut penyanyi lagu Pencuri Hati itu, dia sudah lama tidak berhubung dengan adiknya yang kini sibuk dengan kehidupan sendiri.
Sebelum ini, kecoh apabila Fyna, yang juga peserta program Famili Duo, mendedahkan pengalaman getir membesarkan anaknya yang berusia dua tahun.
Dalam hantaran di Instagram, Fyna mendakwa dirinya disimpan oleh seorang individu tidak dikenali selama empat tahun.
Fyna menegaskan bahawa isu tersebut akan diselesaikan melalui saluran mahkamah dan memberi amaran kepada individu terbabit supaya tidak mempermainkan keadaan. -UTUSAN











