KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu Britian, Farhana Ali, melancarkan single terbaharunya berjudul ‘Ramadan Is Here’ sebagai tanda menyambut ketibaan bulan Ramadan tahun ini.
Single yang dilancarkan pada 15 Februari lalu itu disifatkan sebagai karya penuh makna yang mengajak pendengar merenung, berdoa serta memperkukuh hubungan dengan Allah sepanjang bulan penuh keberkatan tersebut.
Farhana yang berasal dari United Kingdom dikenali sebagai vokalis berbakat dengan suara merdu selain menghasilkan lagu-lagu berunsur keimanan yang menyentuh jiwa pendengar.
Malah, beliau juga mencipta sejarah sebagai wanita Muslim solo pertama di negara itu yang pernah mengeluarkan album, sekali gus meletakkan namanya dalam kalangan pengkarya muzik berteraskan spiritual.
Lagu ‘Ramadan Is Here’ menekankan penghayatan terhadap 99 nama Allah yang menggalakkan pendengar mendekatkan diri kepada-Nya melalui nama-nama suci tersebut sepanjang Ramadan.
Antara bait yang terkandung dalam lagu itu berbunyi, “Ask by His names, all 99 this Ramadan, Allah Al Qudoos, He will be waiting for you,” yang membawa mesej doa dan pengharapan kepada Yang Maha Esa.
Single berkenaan turut dilengkapi dengan video muzik yang dirakam di London Islamic Cultural Society and Mosque yang memaparkan suasana ibadah serta detik refleksi spiritual.
Selain itu, video tersebut turut menampilkan kehidupan Ramadan di rumah termasuk persiapan menyambut bulan suci, berkongsi juadah iftar bersama keluarga dan membungkus hadiah sempena Aidilfitri.
Farhana yang bernaung di bawah label Universal Music Group berkata, lagu tersebut dihasilkan bagi menginspirasikan penghayatan keimanan serta menyatukan umat Islam sepanjang Ramadan.
“Melalui ‘Ramadan Is Here’, saya berharap dapat menghadirkan lagu yang menginspirasikan refleksi, keimanan dan perpaduan selain menjadi cara muzik menyediakan hati serta rumah kita bagi menyambut bulan suci,” katanya.










