Dipilih wajah Spotify EQUAL, Siti Nurhaliza kekal unggul - Utusan Malaysia

Dipilih wajah Spotify EQUAL, Siti Nurhaliza kekal unggul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ikon muzik tanah air, Siti Nurhaliza, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri apabila sekali lagi dipilih sebagai wakil kempen Spotify EQUAL bagi Singapura dan Malaysia untuk bulan Mac 2026.

Pemilihan kali kedua itu mencerminkan pencapaian cemerlang beliau dalam dunia seni, sekali gus mengangkat suara wanita di rantau Asia Tenggara ke peringkat lebih tinggi di platform penstriman global.

Menurut Siti Nurhaliza, beliau bersyukur atas penghormatan yang diterima dan menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan besar dalam kerjayanya.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify EQUAL Singapura dan Malaysia merupakan satu penghormatan yang cukup bermakna,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa muzik berkualiti tidak mengenal usia atau tempoh masa, malah mampu kekal relevan dalam era digital yang berkembang pesat.

Sebagai figura wanita berpengaruh, beliau melihat kejayaan itu bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya sebagai simbol kekuatan suara wanita dalam industri muzik serantau.

“Ini bukan hanya kejayaan individu, tetapi mesej bahawa suara wanita mampu menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza turut berkongsi nasihat kepada penyanyi wanita muda agar memberi penekanan kepada kualiti karya berbanding populariti sementara.

“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti seni yang kukuh serta disiplin dalam menjaga vokal penting untuk kekal relevan merentas zaman,” jelasnya.

Tambah beliau, artis juga perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan trend semasa tanpa mengabaikan asas seni, selain memiliki ketahanan mental serta sikap positif dalam menghadapi cabaran industri.

Mengakhiri kenyataannya, beliau menegaskan kepentingan menghargai peminat yang menjadi tunjang utama kejayaan seseorang artis.

Pemilihan beliau sebagai wakil Spotify EQUAL sekali lagi membuktikan pengaruh besar Siti Nurhaliza sebagai ikon muzik serantau, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan mengangkat martabat wanita dalam industri muzik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN