KUALA LUMPUR: Di sebalik populariti sebagai penyanyi dan sensasi media sosial, Tunku Ines, 22, membuktikan dirinya bukan sekadar figura hiburan apabila tampil memperjuangkan warisan tekstil tradisional melalui tenun Royal Sembilan, khazanah budaya yang cukup sinonim dengan identiti Negeri Sembilan.
Pemilik personaliti anggun itu berkata, seni tenun tersebut bukan sekadar sehelai kain tradisional, malah melambangkan sejarah, nilai budaya serta jati diri negeri yang perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan arus pemodenan.
“Bagi saya, tenun Royal Sembilan bukan sekadar tekstil atau fesyen semata-mata. Ia sebenarnya membawa cerita yang sangat dekat dengan identiti dan sejarah Negeri Sembilan. Apabila kita melihat tenun itu, kita sebenarnya sedang melihat sebahagian daripada perjalanan budaya negeri tersebut.
“Sebab itu saya percaya warisan seperti ini perlu terus dijaga, dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi muda supaya mereka tidak lupa dari mana asalnya budaya kita,” katanya.
Menurut Ines atau nama sebenarnya,Tunku Ines Najihah Raden, peranan institusi diraja juga amat penting dalam memastikan warisan tersebut terus dipertahankan dan dihargai oleh masyarakat.
“Institusi diraja mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan amalan budaya dan tradisi negeri. Sokongan mereka bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada warisan seperti Tenun Royal Sembilan, tetapi juga membantu memastikan ia terus dihormati dan dipelihara sebagai sebahagian daripada identiti negeri. Apabila institusi diraja menyokong usaha ini, ia memberi mesej yang sangat kuat bahawa warisan budaya bukan sesuatu yang lapuk, tetapi sesuatu yang perlu dibanggakan dan diteruskan,” ujarnya.

Tambahnya penyanyi lagu Andai dan Radar ini, antara keunikan tenun Royal Sembilan yang diasaskan oleh ibu saudaranya sendiri iaitu, Tunku Puteri Puan Sri Datuk Seri Jawahir itu ialah pendekatannya yang menampilkan lukisan asli serta fabrik artisanal yang diinspirasikan daripada sejarah tempatan.
“Di Malaysia kita mempunyai banyak tekstil tradisional yang mengekalkan motif yang diwarisi turun-temurun selama beberapa generasi. Itu sangat indah dan berharga. Tetapi apa yang menjadikan tenun Royal Sembilan istimewa ialah pendekatannya yang juga menampilkan lukisan asli yang diinspirasikan daripada sejarah negeri.
“Jadi ia bukan sekadar mengekalkan motif lama, tetapi turut memberi ruang kepada kreativiti baharu yang masih berakar daripada sejarah. Bagi saya, itu menjadikan tenun ini terasa tradisional, tetapi pada masa yang sama segar dan relevan dengan zaman sekarang,” katanya.

Dalam masa sama, Ines percaya generasi muda boleh terus mendekati warisan tersebut sekiranya ia diperkenalkan dengan pendekatan yang lebih kontemporari.
“Generasi muda sebenarnya sangat menghargai budaya, cuma cara kita memperkenalkannya perlu lebih dekat dengan kehidupan mereka hari ini. Apabila tradisi seperti tenun diperkenalkan melalui pendekatan moden, sama ada dalam fesyen, seni atau rekaan, mereka akan mula melihat bahawa sejarah bukan sesuatu yang jauh atau hanya ada dalam buku. Sebaliknya, ia sesuatu yang boleh mereka pakai, mereka banggakan dan mereka bawa ke dalam kehidupan seharian mereka.
“Fesyen juga sentiasa berubah dan berkembang mengikut zaman, tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh melupakan akar budaya kita. Bagi saya, fesyen moden dan tenun tradisional boleh bergerak bersama. Apabila kedua-duanya digabungkan dengan cara yang kreatif, ia bukan sahaja mengekalkan tradisi, malah memberi nafas baharu kepada warisan itu supaya ia terus hidup dan relevan dalam dunia fesyen hari ini,” jelasnya.

Pada masa sama, Ines berharap usaha mempromosikan tenun Royal Sembilan dapat terus diperkasakan melalui sokongan kepada penggiat tempatan serta penyediaan platform bagi memperkenalkan tekstil tersebut kepada masyarakat.
“Warisan seperti ini memerlukan sokongan berterusan. Kita perlu menyokong penggiat tempatan, memastikan teknik tenunan tradisional terus diwariskan, dan pada masa yang sama menyediakan lebih banyak platform untuk mempamerkan tekstil ini kepada masyarakat. Apabila lebih ramai orang mengenali dan memahami nilai di sebalik tenun ini, mereka akan melihat bahawa ia bukan sekadar kain yang cantik, tetapi satu khazanah sejarah yang sangat berharga kepada Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ines juga mengakui bakal tampil dengan sebuah single baharu yang akan diumumkan tidak lama lagi.










