KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar, meluahkan rasa sebak dan bangga apabila anak ketiganya, Syed Rezaqib Syed Kamaruzaman atau Aqiib, berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Linda, perasaan itu sukar digambarkan sebaik sahaja menerima berita kejayaan anaknya.
“Apabila saya dapat tahu keputusan dia, saya rasa sedih dan sebak, dalam masa yang sama sangat bangga dengan usaha dia selama ini.
“Saya memang beri ruang dan tidak terlalu memaksa dia belajar, tetapi Aqiib sendiri sangat menjaga solat. Selain itu dia juga konsisten khatam al-Quran setiap bulan,” ujarnya.
Tambahnya, perubahan sikap anaknya itu jelas kelihatan terutama dalam tempoh tiga bulan terakhir sebelum peperiksaan.
“Pada awalnya dia belajar seperti biasa, tetapi tiga bulan terakhir dia mula hentikan semua aktiviti yang tidak bermanfaat dan hanya fokus kepada solat, mengaji serta menghadiri tuisyen,” katanya.
Sebagai ganjaran atas usaha keras tersebut, Linda mendedahkan dia telah berjanji untuk menghadiahkan sebuah kereta kepada anaknya itu.
“Saya memang sudah berjanji untuk menghadiahkan sebuah kereta kepadanya sebagai tanda penghargaan, insya-Allah saya akan tunaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Linda turut berkongsi kata nasihat kepada ibu bapa agar tidak terlalu mendesak anak-anak dalam pelajaran.
“Bagi saya, ibu bapa perlu beri masa dan jangan terlalu mendesak, tetapi dalam masa sama sentiasa mendoakan serta bercakap perkara yang baik supaya anak-anak lebih bersemangat.
“Sebagaimana anak saya, menerusi keputusan ini, dia semakin jelas dengan matlamatnya dan menyatakan hasrat untuk menjadi seorang doktor perubatan,” jelasnya.
Selain itu, Linda turut percaya pengalaman menunaikan umrah memberi kesan besar terhadap perubahan dan kejayaan anaknya.
“Saya percaya antara perkara yang memberi kesan besar ialah apabila dia berpeluang menunaikan umrah dan dapat solat di makam Rasulullah hampir tiga jam tanpa dihalau, mungkin itu antara asbab kejayaan dan kita perlu yakin dengan kuasa Allah SWT,” katanya.










