Arja Lee pertahankan warisan ‘Getam Budu’ - Utusan Malaysia

Arja Lee pertahankan warisan ‘Getam Budu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Arja Lee bukanlah asing dalam dunia seni tanah air. Sebagai pelakon yang sering mencuri perhatian di pentas teater dan kaca televisyen, setiap langkahnya sentiasa diperhati.

Namun, di sebalik sorotan lampu dan tepukan gemuruh, ada sisi lain dirinya yang jarang diketahui umum di mana dia seorang pencinta warisan tegar yang mempertahankan seni tradisi.

Penghijrahannya ke Kota Bharu, Kelantan sejak enam tahun lalu bukan sekadar perubahan alamat, tetapi permulaan sebuah perjalanan jiwa.

Di negeri Cik Siti Wan Kembang itulah Arja menemukan sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka akan begitu dekat di hatinya iaitu menghargai seni lipatan tanjak yang dipanggil getam budu atau setangan.

Menurut Arja, penglibatannya bersama Malaysian Craft Council (MCC), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperkasakan seni dan budaya, menjadi titik mula perkenalan tersebut.

“Abang kepada salah seorang pasukan NGO tersebut merupakan artisan yang membuat getam budu atau setangan ini. Sewaktu aktif menari dan berlakon teater dahulu, saya hanya diperkenalkan dengan tanjak sahaja.

“Apabila pertama kali melihat getam budu secara dekat, saya terus jatuh cinta,” katanya kepada Pancaindera.

Kehalusan lipatan, kekemasan struktur serta penggunaan fabrik songket keras menjadikan aksesori kepala itu tampak eksklusif dan mahal.

Bagi Arja, getam budu bukan sekadar pelengkap busana, sebaliknya simbol status dan identiti yang satu ketika dahulu hanya digayakan oleh Sultan Kelantan serta kerabat diraja tertinggi.

Namun, peredaran zaman menyaksikan warisan itu mula dibuka kepada masyarakat umum, asalkan digayakan dengan cara yang betul dan penuh adab.

Pada awalnya, Arja sekadar menempah beberapa unit untuk kegunaan sendiri supaya dapat dipakai ketika menari, berlakon teater dan mengacarakan majlis di Kelantan serta Kuala Lumpur.

Tanpa disangka, setiap kali dia mengayakannya, soalan demi soalan muncul daripada pengikutnya di media sosial.

“Ramai yang tanya dan kagum dengan keunikan getam budu itu. Dari situ saya terfikir, kenapa tidak ia dikomersialkan dengan cara yang betul supaya nilai estetikanya tidak hilang,” ujarnya.

Kini, pelakon itu memiliki sekitar 28 koleksi getam budu yang ditempah khas daripada tukang mahir negeri itu.

Walaupun mengetahui proses pembuatannya dan pernah menyaksikan demonstrasi, pelakon berusia 43 tahun itu memilih untuk tidak menghasilkan sendiri.

“Saya pernah menonton demonstrasi pembuatannya dan tahu prosesnya, tetapi saya rasa biarlah pakar yang melakukan kerja mereka. Saya hanya menggayakan dan memperkenalkannya kepada masyarakat,” jelasnya.

Hanya memerlukan sekitar 1.1 hingga 1.2 meter fabrik keras, Arja mengakui dia tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk mendapatkan sebuah getam budu.

Tambahnya, selain ketelitian, bakat, kesabaran kemahiran tinggi dan masa merupakan elemen penting dalam menjadikan setiap getam budu sebuah karya seni yang tidak ternilai.

Lebih menarik lagi, hobi tersebut kini berubah menjadi tanggungjawab Arja Art Academy miliknya serta MCC untuk memperkenalkan getam budu melalui persembahan, bengkel dan program seni.

“Kami meletakkan getam budu di platform yang betul, bukan semata-mata untuk keuntungan tetapi untuk perkongsian, pemberitahuan dan mendidik masyarakat khususnya golongan muda tentang kehalusan dan keunikan warisan ini.

“Kosnya tidak terlalu tinggi dan saya sanggup berbelanja untuk setiap unit kerana jika kita boleh beli jenama antarabangsa yang mahal, kenapa tidak kita belanja untuk produk kraf tempatan dan memartabatkan warisan kita sendiri?” ujarnya.

Bagi Arja, setiap kali getam budu tersarung kemas di kepala, ia bukanlah sekadar gaya, malah sebuah lambang rasa cinta terhadap budaya serta satu perjuangan senyap seorang pelakon yang mahu melihat seni tradisi terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN