LAGU yang baik selalunya akan mempunyai keupayaan untuk menggerakkan pendengar, tidak kiralah fizikal mahupun perasaan. Lagu tidak hanya tentang melodi tetapi juga naratif, gaya bercerita yang dipersembahkan dalam liriknya. Itulah kunci sebenar yang akan mempengaruhi emosi sama ada membuat kita tersenyum, sedih, hancur atau ceria.
Namun, jika lagu itu tidak berjaya membuat kita berasa apa-apa, mungkin keseluruhan elemen yang ada dalam lagu itu belum cukup matang. Juga, antara kekayaan sebenar sesebuah lagu ialah bagaimana pengkarya merakam pengalaman, inspirasi daripada caranya melihat hidup ke dalam karya mereka. Perkara inilah yang tidak boleh ditiru oleh janaan kecerdasan buatan (AI) yang tidak berjiwa.
Jadi, jika ada lagu yang liriknya mudah seperti dituliskan AI, pengkarya perlu faham bahawa ia bukanlah sebuah pujian.
Ketika artikel ini ditulis, sudah ada lebih 40 lagu raya yang menemui pendengar untuk tahun ini sahaja. Agak mustahil untuk membahas semua lagu dalam ruang yang terhad. Oleh itu, kami memilih lagu-lagu yang berjaya membolosi carta Youtube trending untuk kita bahas bagaimana seni bercerita dalam lirik-lirik lagu untuk Aidilfitri 2026.
Jika ada yang tidak berpuas hati mengapa lagu artis kesayangan mereka tidak termasuk dalam senarai kami, mungkin kerana tiga kemungkinan.
Pertama, lagu artis kesayangan anda tidak mempunyai video muzik di Youtube. Kedua, video muzik artis anda tidak trending secara organik. Ketiga, liriknya terlalu ‘AI’ dan bosan untuk dibicarakan.
Jodoh, jatuh cinta di hari raya
Kita mulakan dengan lagu raya tempatan paling viral tahun ini iaitu Jodoh Lebaran nyanyian Aisha Retno. Dengan reputasi cemerlang lagu rayanya sebelum ini Ketipak Ketipung Raya bersama Aziz Harun, Aisha sekali lagi membuktikan kemampuannya menjadi antara komposer muda yang semakin mengasah taring di Malaysia.
Seperti tajuknya, Aisha membawa suara seorang gadis menanti jodoh di hari raya, tapi belum jumpa. Sebuah mesej yang sangat dekat dengan anak muda dan sesuai dinyanyikan untuk anak dara berusia 25 tahun sepertinya. Walaupun lirik ‘baru bangun tak gosok gigi’ tidak begitu mengena, namun ‘ucapkan selamat hari raya dulu kemudian nanti datanglah jodoh tu’ membawa semula fokus sebenar lagu ini.
Tema sama juga diusung oleh Raya Kira Jadi nyanyian Kitshafiq, Syeriena Marcella, Masmera. Cuma sentuhan Aisha sedikit lembut berhadapan soal jodoh berbanding lagu Raya Kira Jadi merakam sindiran seperti lirik ‘Yang datang sudah berpunya, makcik bawang sudah bertanya’.
Bagaimanapun lagu ini memberi cadangan bahawa alang-alang dua keluarga sudah jumpa, kira jadilah untuk bermenantu. Lebih kurang begitu.
Lagu Selamat Tahun Baru Raya oleh Iman Troye, Ammar Haikal, Hadie El Fardie, Eznny juga sama. Cuma cerita cintanya berbeza, seseorang boleh tiada ‘mood’ hendak beraya sebab tidak dapat mesej daripada kekasih.
‘Lihat rendang pun ku tak selera, duit raya tak ada pun tak apa, teringat kau saja, apa kau pun sama’. Sedikit bosan, namun tidaklah begitu teruk.
Bagaimanapun, ada sebuah lagu tahun ini yang menonjol daripada segi lirik dan gaya bercerita, matang dalam bercakap tentang jodoh iaitu lagu Ye Ye Raya nyanyian Floor 88 dan Odda.
Walaupun Jodoh Lebaran paling tular, tapi Ye Ye Raya ada kaedah bercerita lebih segar, ibarat sebuah sketsa dua jiran bergaduh namun berdamai di hari raya dan jatuh cinta.

Peluang kedua
Tidak sangka tahun ini kita bakal menyaksikan gabungan Faizal Tahir dan Senariounion dalam Bila Lagi Nak Jumpa. Cerita tentang dua individu lama tidak jumpa dan raya sepatutnya menjadi hari mereka bertanya semula berita.
Sebagai peringatan inilah masa tepat mengembalikan semula kehangatan silaturrahim seperti kata lagu ini, ‘kalau bukan berhari raya, manakan bersemuka bertanyakan berita’. Sebuah tema yang sudah banyak orang guna, tapi relevan. Memang raya adalah tentang kemaafan.

Pening laki bini, anak dalam kereta
Beberapa tahun ini, lagu yang merakam perbincangan raya antara suami isteri makin mendapat tumpuan seperti Raya Lain Macam dan Raya Mana? Yang pernah tular beberapa tahun sudah.
Bincang Raya nyanyian Amira Othman dan Irfan Haris membawa kembali tema ini cuma tidak pasti adakah lagu ini boleh menandingi tema sama seperti lagu tahun-tahun sudah.
Selain suami isteri, Nak Balik Raya oleh Achey & family juga merakam suara anak yang tengok betapa huru-hara orang tua seperti lirik ‘Ayah bawa lambat lah, dalam kereta bosan lah, Mama bebel kuat lah, perut pun dah lapar lah’. Sebuah sentuhan baru dan perspektif ini boleh digali lagi oleh pengkarya.
Rindu yang radikal
Ketika banyak orang hasilkan lagu rancak joget-joget, Dayang Nurfaizah hadir dengan lagu syahdu, lirik sedih dalam Senyum Gugur di Penghujung Doa. Kami anggap Dayang sangat radikal ibarat kapal yang berlayar melawan arus tak peduli merebut algoritma.
‘Pasti indah alunan takbir rayamu di sana? Hanya Tuhan yang tahu aku terlalu rindu beraya denganmu’
Lagu ini mewakili suara syahdu orang yang kehilangan. Ibarat di kala semua sibuk cerita baju raya paling trending di ruang tamu, lagu ini memeluk seorang yang mengasingkan diri di bilik merindui ibunya yang sudah tiada.











