PETALING JAYA: “Tokti sudah luluskan. Apa saya kena buat ini? Tidur lena sajalah macam ini! Selamanya kesayangan rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza.“
Demikian kata penyanyi, Aisha Retno apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memuji lagu raya ciptaannya sendiri, Jodoh Lebaran yang dilancarkan pada Jumaat lalu.
Teruja menerima pujian tersebut, Aisha mengakui lagu tersebut dicipta kerana terinspirasi dengan identiti Siti yang selari dengan genre tradisional.
Kata Aisha, dia ingin terus mengangkat elemen tradisional dalam setiap karyanya agar genre itu tidak lupu ditelan zaman.
“Tokti adalah antara inspirasi saya untuk mengekalkan elemen tradisionalisme dalam hampir setiap lagu yang saya tulis.
“Tokti telah meletakkan penanda aras yang begitu tinggi dan menjadi inspirasi untuk penyanyi serta penulis lagu seperti saya.
“Tiada siapa yang boleh menandinginya, seorang legenda yang masih hidup. Sayang Tokti! Semoga juga jodoh saya pada lebaran nanti peminat lagu-lagu Tokti juga,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut meraih pujian dari peminatnya yang rata-ratanya kagum dengan kreativiti dan keberanian Aisha dalam berkarya.
“Siapa sangkakan dari Big Stage TokTi jurikan Aisha dan nampak bakat besar awak. Sekarang awak berjaya buat dua lagu terbaik untuk TokTi. Syabas!,” komen peminatnya.
“Kita peminat Siti dalam masa yg sama kita meraikan semua bakat bakat yang meperjuangkan lagu dan karya seseorang bakat baru seperti Aisha . Jangan lupa Kesuma dan Raya nak Kemana tetap di hati,” puji netizen.









