PETALING JAYA: “Sebelum datang studio tadi saya ada baca tafsir sikit tentang surah ini, ia sangat bermakna dan sentimental.”
Demikian kata penyanyi, Aisha Retno yang gagal menahan sebak ketika mengalunkan bacaan surah Al-Qadr ketika sesi siaran langsung sebuah rancangan keagamaan.
Menurut Aisha, maksud surah itu bukan sahaja indah sebaliknya terlalu bermakna dan menyentuh jiwa apabila dihayatinya.
“Maaf jikalau saya tersebak membawa surah Al-Qadr. Terima kasih sudi jemput saya mengaji.
“Terima kasih Tazkirah Malam Jumaat memberi ruang untuk saya melantunkan surah kegemaran saya,” katanya di Threads.
Tersentuh mendengar bacaan surah tersebut, rata-rata netizen memuji kebolehan Aisha yang bukan sekadar pandai menyanyi, malah mahir dalam bertaranum.
“Aisha, awak membaca Al-Quran dengan sangat merdu. Terasa ketenangan dan kedamaian. Terima kasih,” komen seorang netizen.
“MasyaAllah tabarakAllah, bacaan yang sangat indah Aisha. Saya sangat teringin mendengar awak membaca beberapa ayat daripada Al-Quran. Alangkah baiknya jika awak memulakan sebuah podcast khas untuk bacaan surah. Suara awak sebenarnya mengingatkan saya kepada guru Al-Quran lama saya,” komen peminatnya.










