KUALA LUMPUR : Pelawak dan pelakon, Achey, berkongsi kisah menyentuh hati mengenai gelagat anak tunggalnya, Tiara Zinnirah,8, yang mencuri perhatian ramai sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Menurut Achey, sambutan hari raya pada tahun ini memberi pengalaman yang berbeza buat keluarganya apabila Tiara dilihat lebih selesa bermain berbanding mengenakan busana raya seperti kebiasaan kanak-kanak lain.
“Raya kali ini penuh dugaan. Tiara lain macam sedikit apabila tiba musim raya ini. Kadang-kadang ada juga rasa sedih, tetapi saya dan isteri memilih kegembiraan anak,” katanya di Threads.
Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, dia dan isterinya, Anne Achey, tidak sanggup menjadi ‘perosak kegembiraan’ anak mereka semata-mata untuk memenuhi jangkaan masyarakat.
“Orang mungkin bercakap, tetapi saya dan Anne tidak sanggup jadi ‘joykiller’ untuk dia. Kami sudah puas memujuk, siap bertekak dan bergaduh, namun dia tetap memilih untuk selesa bermain,” jelasnya.
Tambahnya, Tiara bagaimanapun memahami kepentingan momen bergambar bersama keluarga apabila dia bersetuju memakai baju raya buat seketika.
“Alhamdulillah, masa bergambar dia nak sarung baju raya. Dia tahu itu momen penting untuk semua. Lepas sahaja bergambar, dia terus buka semula.
“Orang akan tanya, ‘mana baju raya Tiara?’ dan dia jawab, ‘Ada dalam kereta.’ Memang kami sentiasa sediakan untuk dia,” katanya.
Dalam pada itu, Achey tidak menafikan ada segelintir pihak yang memandang sinis terhadap penampilan anaknya yang dianggap tidak mengikut norma berpakaian hari raya.
“Ada yang kata, ‘mak bapak bukan main bergaya, anak pula selekeh.’ Kami tidak salahkan mereka bercakap. Sebenarnya baju raya dia hampir 20 pasang, tetapi kami pilih dia gembira.
“Insya-Allah, bila dia besar nanti, pandailah dia melaram sendiri,” katanya.











