Ada mengaku saudara, mahu jodohkan dengan anak mereka - AC Mizal - Utusan Malaysia

Ada mengaku saudara, mahu jodohkan dengan anak mereka – AC Mizal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 1992 menyaksikan meledaknya kumpulan 4U2C dalam dunia hiburan tanah air susulan sambutan luar biasa terhadap album sulung mereka, 4U2C.

Kejayaan itu terus mengubah hidup anggota kumpulan, Noor Azam Mohamed, Mizal Zaini, Razlan Ramdan, Mohd. Suffian Muda, Mohd Johari Mohd. Noor, Raja Azrin Shah Raja Zaini Ismail dan Fazril Harun.

Sekelip mata ketujuh-tujuh mereka menjadi sekumpulan remaja yang bukan sahaja popular malah menjadi kegilaan ramai gadis remaja pada zaman tersebut.

Dalam pertemuan baru-baru ini, Datuk Mizal Zaini atau AC Mizal berkongsi pengalaman menarik pertama kali menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika kumpulan 4U2C menjadi tumpuan penggemar muzik tanah air.

AC mengakui mengalami kejutan budaya berikutan perhatian yang diterima sehingga ramai peminat yang datang ke rumah pada hari raya semata-mata mahu melihat artis popular secara dekat.

“Sambutan album sulung 4U2C memang dahsyat sekali gus mempopularkan kami. Saya pula tidak sangka pada hari raya, begitu ramai datang ke rumah saya waktu itu di Taman Cuepacs, Cheras.

“Layanan orang juga berubah. Ibu saudara-ibu saudara saya, yang sebelum itu tidak pernah peduli pun kewujudan saya, tiba-tiba berebut-rebut mahu mengambil gambar dengan saya.

“Lebih mengejutkan apabila ramai yang datang ke rumah dan mengaku mereka adalah saudara saya.

“Itu belum lagi kedatangan tetamu yang membawa anak perempuan untuk dijodohkan dengan saya. Kalau dikenang semula, memang melucukan,” kongsinya.

AC memaklumkan beliau pernah berdepan kejutan sosial sehingga bertindak menyembunyikan diri dalam bilik di rumahnya kerana takut berjumpa ramai orang yang berkunjung ke rumahnya pada hari raya.

“Dulu tiada media sosial dan masyarakat jarang berpeluang jumpa artis. Kerana itu bila dapat berjumpa artis secara berdepan, reaksi mereka luar biasa.

“Sebab itu juga pada hari raya, tetamu yang datang ke rumah kami luar biasa ramainya.

“Keadaan itu membuatkan saya alami kejutan budaya. Setiap kali tiba hari raya, kebanyakan masa saya akan berada dalam bilik kerana takut berjumpa orang,” ujarnya.

KAD RAYA PEMINAT

Antara amalan popular Hari Raya Aidilfitri era 80-an sehingga awal 2000 adalah saling berbalas kad raya.

Sekarang, amalan tersebut sudah tidak dilazimi, malah digantikan dengan kaedah lebih mudah seperti berbalas ucapan menerusi platform WhatsApp dan media sosial.

Bagi AC amalan bertukar kad raya mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana itulah cara peminat zaman dahulu mengirimkan doa sebagai tanda kasih sayang terhadap artis kegemaran mereka.

“Sewaktu zaman bersama 4U2C dulu, antara aktiviti tahunan di bulan Ramadan adalah membalas kad raya peminat.

“Saya masih ingat kami pernah terima empat guni berisi ratusan kad raya peminat yang dihantar ke pejabat BMG Music.

“Bayangkan betapa banyaknya poskad yang perlu kami turunkan tanda tangan sebagai cara membalas kad raya peminat.

“Berharganya poskad yang kami hantar itu sehinggakan ada peminat yang merakam poskad-poskad itu dan kemudian cetak pada baju,” ceritanya.

SAMBUTAN BERBEZA

Berkongsi mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri, AC memaklumkan tahun ini bakal kurang meriah disebabkan ketiadaan anak lelakinya, Reeve Damien yang kini di Jerman.

Menurut AC, kemungkinan besar Reeve terpaksa menangguhkan hasrat pulang ke Malaysia berikutan ketegangan di Asia Barat.

“Reeve membawa keceriaan terutamanya pada Hari Raya Aidilfitri kerana dia suka mengusik adik dan ibunya.

“Tanpa dia keluarga kami terasa tidak lengkap. Tambahan pula kami ini ibu bapa yang sangat rapat dengan anak-anak.

“Kalau boleh saya dan isteri enggan terlalu memikirkan ketiadaan dia pada hari raya nanti kerana perkara itu amat menyedihkan kami,” katanya.

Dalam masa sama, sambutan Syawal AC sekeluarga pada tahun ini juga bakal berbeza kerana ketiadaan ibu mentuanya yang pergi menghadap pencipta bulan lepas.

“Tahun ini juga kami menyambut hari raya tanpa ibu mertua saya, arwah Rokiah Ibrahim yang meninggal dunia pada 23 Februari tahun lalu.

“Tanpa arwah, tentunya sambutan hari raya kami tahun ini berbeza. Paling terkesan ialah Emylia dan adiknya, Emelda Rosmila kerana malam sebelum hari raya, mereka ini yang akan membantu arwah di dapur.

“Rumah kami terasa amat kosong setelah arwah meninggal dunia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN