KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nabila Razali berkata elemen komersial yang diselitkan dalam video muzik (MV) terbaharunya, Tak Sabar Nak Raya, bukanlah sesuatu yang keterlaluan seperti diperkatakan segelintir pihak.
Nabila atau Nur Nabila Mohd. Razali, 33, berkata, penempatan produk dalam MV berkenaan adalah keperluan bagi menampung kos pembikinan tanpa menjejaskan kualiti keseluruhan karya.
“Bagi saya, apa yang paling penting adalah lagunya. Apabila melodi dan lirik sudah melekat di telinga pendengar, itu sudah memadai.
“Namun untuk pembikinan video muzik, kita tidak boleh lari daripada kos yang perlu ditanggung. Selagi penempatan jenama itu tidak dibuat secara ‘hard sell’ atau terlalu ketara sehingga mencacatkan visual, saya rasa ia masih boleh diterima.
“Alhamdulillah, apa yang dipaparkan dalam MV kali ini masih cantik dan tidak keterlaluan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tersebut, baru-baru ini.
Mengulas kolaborasinya bersama pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad, Nabila menyifatkan pemilihan itu sebagai tepat berdasarkan karakter kuat yang diperlukan untuk menghidupkan lagu berkenaan.
Jelasnya, sebaik sahaja mendengar demo lagu ciptaan MFMF dan Ashraff Nasir itu, dia sudah membayangkan rakan duet yang memiliki personaliti menonjol.
“Ketika berbincang dengan pihak pengurusan, nama Nabil Ahmad terus terlintas di fikiran. Apabila dihubungi, dia terus bersetuju tanpa banyak soal. Karakter Nabil sangat kuat dan itu yang menjadikan lagu ini lebih hidup,” ujarnya.
Sementara itu, Nabil dalam nada berseloroh mengakui teruja apabila akhirnya berpeluang memiliki lagu raya sendiri selepas sekian lama berada dalam industri seni.
Malah, beliau menyifatkan penglibatannya dalam MV yang menampilkan pelbagai jenama sebagai satu percaturan bijak dari sudut pemasaran.
“Saya memang suka jenama, ini soal perniagaan. Bila banyak produk, maknanya MV itu tidak kosong. Saya suka duit, itu hakikatnya.
“Apa yang penting, saya harap lagu ini tular seperti lagu-lagu Bella sebelum ini. Selalunya saya viral di Threads sebab benda tak sepatutnya, kali ini biarlah viral kerana karya seni,” katanya.
Tak Sabar Nak Raya merupakan ‘prekuel’ kepada lagu raya Nabila sebelum ini, Raya Mana?, yang mengisahkan bibit awal perkenalan pasangan sebelum mendirikan rumah tangga.
MV yang menjalani penggambaran selama 12 jam itu kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Nabila Razali Entertainment. – UTUSAN










