White Shoes, NonaRia satukan irama di Kuala Lumpur - Utusan Malaysia

White Shoes, NonaRia satukan irama di Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu negara bakal diserikan dengan alunan muzik retro dan jazz klasik menerusi konsert ‘Senandung Ria Di Kuala Lumpur’ yang menemukan dua kumpulan popular Indonesia, White Shoes & The Couples Company dan NonaRia, dalam satu pentas istimewa pada 10 Mei 2026.

Konsert yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu merupakan anjuran ZS Entertainment dengan kerjasama LampuNeon Entertainment.

Penganjuran acara berkenaan dijangka menarik perhatian peminat muzik berjiwa klasik serta pencinta irama vintaj tanah air yang dahagakan kelainan dalam persembahan muzik secara langsung.

Mengangkat tema nostalgia, keceriaan dan romantika bandar, konsert ini dirangka sebagai sebuah pengalaman muzikal yang menyatukan elemen pop sinematik dan jazz-swing dalam satu persembahan eksklusif selama satu malam.

White Shoes & The Couples Company yang ditubuhkan pada 2002 dikenali dengan susunan muzik beridentitikan retro-pop serta sentuhan sinematik yang kemas dan sofistikated.

Kumpulan itu turut mempunyai pengaruh tersendiri terhadap perkembangan muzik alternatif Indonesia dengan gaya yang unik dan konsisten sejak awal penubuhan.

Sementara itu, NonaRia yang diasaskan pada 2012 pula membawa pendekatan jazz dan swing berinspirasikan era 1940-an hingga 1960-an.

Duo ini sering mencuri perhatian menerusi persembahan yang ceria dan penuh karakter, sekali gus menampilkan elemen klasik dalam susunan yang lebih moden dan segar.

Gabungan kedua-dua kumpulan ini disifatkan sebagai pertemuan dua dunia muzik yang berbeza namun serasi, sekali gus menawarkan pengalaman audio yang unik kepada penonton di Malaysia.

Konsert ini turut menampilkan produksi penuh dengan konsep visual retro-sinematik yang dirancang khas untuk pentas Kuala Lumpur.

Susunan muzik istimewa serta kemungkinan kolaborasi di atas pentas dijangka menjadi antara tarikan utama pada malam berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai saluran rasmi penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat, dengan jangkaan sambutan hangat daripada peminat muzik retro dan jazz tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN