KUALA LUMPUR: Selepas kegagalan penganjuran konsert mereka di Kota Kinabalu pada tahun 2024, kumpulan popular dari Tangerang, Indonesia, Wali Band kini kembali dengan semangat baharu bagi menebus kekecewaan peminat di Sabah.
Kumpulan yang dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) bakal mengadakan Konsert Wali Live in Kota Kinabalu di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 12 April 2026.
Konsert anjuran 25th Studio bersama Infinity Love Creative Ventures itu diharap menjadi medan terbaik buat Wali Band mengubat rasa kecewa peminat yang sebelum ini tidak berpeluang menyaksikan persembahan mereka secara langsung.
Menurut vokalisnya, Faank, mereka turut merasai kekecewaan apabila konsert yang dirancang sebelum ini tidak dapat direalisasikan, meskipun punca sebenar perkara tersebut berada di luar pengetahuan mereka.
“Apabila menerima tawaran baharu daripada pihak penganjur, kami melihatnya sebagai peluang terbaik untuk menebus kembali kekecewaan peminat di Sabah,” katanya.
Faank turut mengakui ada segelintir peminat yang mungkin masih berasa ragu-ragu terhadap penganjuran konsert kali ini, namun memberi jaminan bahawa Wali Band komited untuk menjayakannya.
“Kami tidak sabar untuk bertemu dan beraksi di hadapan peminat di Kota Kinabalu,” ujarnya.
Tiket konsert mula dijual sejak 12 Februari 2026 dengan harga RM688 (Cari Jodoh – VIP), RM488 (Yank – Gold), RM288 (Baik Baik Sayang) dan RM98 (Nenekku Pahlawanku).
Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui laman sesawang www.ilassotickets.com serta mengikuti perkembangan terkini menerusi akaun rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram.
Konsert tersebut turut mendapat sokongan Era FM Sabah dan Era Sarawak sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal rasmi.










