PETALING JAYA: Penyanyi, Mimi Fly tampil berkongsi tips untuk mengutamakan diri sendiri sebelum memenuhi kehendak orang lain buat golongan yang sentiasa menjadi mangsa yang perlu berkorban sejak kecil.
Menurut Mimi, mereka yang sentiasa mengorbankan keinginannya demi orang lain perlu berlajar memberi perhatian yang lebih buat diri sendiri agar rasa lebih dihargai
“Untuk orang macam kita yang selalu perlu berkorban dari zaman kanak-kanak, kita perlu fokus lebih pada apa yang kita mahu,” katanya di Threads.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Angkat itu turut mencadangkan agar individu yang berada di situasi tersebut untuk senaraikan setiap keinginan mereka yang perlu direalisasikan.
“Mula-mula kita perlu buat senarai ‘Apa Yang Aku Nak?’. Susah nak buat senarai inu sebab tak biasa tanya diri sendiri nak apa sebenarnya.
“Selepas itu pilih satu dalam banyak-banyak dan kerjakan serta usahakan sampai dapat. Dan kemudian ulang. Semoga bermanfaat,” jelasnya.
Mimi berkata demikian ketika membalas perkongsian seorang individu yang meluahkan rasa kecewa kerana pengorbanannya tidak dihargai meskipun sering mengutamakan orang lain.
“Boleh tak ajar aku bagaimana mahu letakkan diri sendiri dulu baru orang lain? Aku rasa aku selalu dahulukan orang lain. Padahal orang lain hairan pun tidak fasal aku,” luah individu berkenaan.










