The Boys dikecam kerana pertukaran penyanyi - Utusan Malaysia

The Boys dikecam kerana pertukaran penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYERTAAN ratu rock, Ella Aminuddin selaku vokalis The Boys pada 1985 membawa impak yang besar terhadap kumpulan itu.

Kehadiran Ella membuatkan The Boys menjadi terkenal selepas lima tahun ditubuhkan, berdiri sebaris kumpulan rock gergasi seperti Wings dan Search.

Dijenamakan semula sebagai Ella And The Boys, band yang turut dianggotai Lord Lokman selaku gitaris, Allahyarham Ayie (bass) dam Mie (dram) muncul dengan empat album antara 1985 hingga 1987.

Kumpulan itu juga meledak dengan lapan single termasuk Cinta Berakhir, Dua Insan Bercinta dan Penggoda.

The Boys bagaimanapun mengharungi fasa mencabar selepas Ella mengundur diri untuk meneruskan karier solo pada tahun 1988.

Shima yang menggantikan Ella pada tahun 1989 berdepan pelbagai reaksi peminat dengan ramai yang tidak dapat menerima tempat Ella digantikan olehnya.

Ketua The Boys, Lord Lokman atau nama sebenarnya Ahmad Lokman Ismail, 69, memaklumkan kumpulan itu mengambil tempoh satu tahun untuk meyakinkan peminat terhadap kredibiliti Shima sebagai vokalis mereka.

“Pertukaran vokalis mengundang kemarahan peminat kerana impak yang ditinggalkan Ella selaku penyanyi utama, cukup besar. ketika itu peminat tidak menerima tempat Ella digantikan Shima.

“Disebabkan itu, pelbagai kecaman kami terima. Antaranya digelar kutu selain ada yang menyamakan nyanyian Shima dengan ‘hantu pari’.

“Peminat sepanjang tempoh peralihan itu tetap mahukan Ella kekal bersama The Boys. mereka hanya dapat menerima perubahan selepas satu tahun Shima bersama The Boys,” katanya.

Lokman tidak menafikan pengaruh Ella terlalu besar sehingga membuatkan peminat The Boys tidak menerima pengundurannya dari kumpulan itu.

”Beliau penyanyi yang berbakat besar. Dulu dia hanyalah seorang gadis polos, tetapi nyanyiannya mampu menumpahkan air mata peminat,” katanya lagi.

Lokman dalam masa yang sama meluahkan rasa teruja apabila sekali lagi berpeluang berkongsi pentas dengan Ella menerusi konsert di stadium Bukit Jalil pada 14 Februari ini.

“Walaupun banyak pengalaman, kami sebagai manusia biasa tetap menyimpan rasa gementar menjelang konsert itu nanti.

”Apa pun kami amat bangga dengan pencapaian Ella. peminatnya cukup dahsyat,” kongsinya.

KELAB TERBAKAR

Lokman mengimbau insiden kebakaran sebuah kelab yang menjadi salah sebuah tempat The Boys membuat persembahan pada penghujung era 80-an.

Menurutnya pelbagai spekulasi bertebaran berhubung insiden tersebut dengan ada pihak yang mendakwa ianya berpunca oleh perbuatan khianat.

“Yang diceritakan kepada kami adalah perniagaan kelab yang berlokasi di Damansara itu merosot disebabkan banyak ketirisan.

“Jumlah kehadiran pengunjung ke kelab itu berkurang. Keadaan itu berbeza dengan ketika ia mula beroperasi beberapa tahun sebelum itu.

“Apabila berlaku kebakaran, kami terdengar khabar angin yang kononnya insiden itu berpunca akibat perbuatan khianat tapi sebenarnya disengajakan pemiliknya sendiri untuk mendapatkan pampasan insurans.

“Ada juga yang menyangka kumpulan kami dibubarkan selepas insiden tersebut walhal kami bertahan. Ia berlaku tidak lama sebelum Ella mengundur diri,” kongsinya.

 

ANCAMAN BOM

Lokman turut bercerita tentang ancaman bom yang berlaku ketika konsert jelajah Battle Of The Band di Ipoh, Perak pada era 80-an.

Katanya, kejadian itu antara pengalaman mencemaskan yang sering dibualkan sesama ahli kumpulan sampai ke hari ini.

“Saya masih dapat membayangkan betapa cemasnya promoter, Ali Bakar datang kepada kami dan memaklumkan persembahan dibatalkan kerana ancaman bom.

“Ia berlaku tahun 1986. Walaupun sudah membuat persiapan, kami terpaksa akur demi keselamatan,” ujarnya.

HASRAT TERSIMPAN

Ditanya tentang konsert yang menyatukan The Boys, Ella dan Shima, Lokman mengakui perkara itu menjadi hasrat yang diharapkanmya menjadi nyata.

Katanya, hal itu juga menjadi antara perkara yang paling diinginkan peminat tegar The Boys.

“Ramai peminat yang bertanyakan perkara itu. Walaupun pemain bass, Ayie sudah meninggal dunia dan pemain dram kami menjaga isterinya yang sakit, konsert The Boys bersama Ella dan Shima bukan perkara

mustahil kerana kekosongan yang ditinggalkan boleh diisi pemuzik muda.

“Apa pun, kita serahkan perkara ini kepada ketentuan Allah S.W.T. Mana tahu, satu hati nanti ada penganjur yang berminat ke arah itu,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN