SEPERTI tahun-tahun sebelum, kita akan kembali membincangkan semua filem-filem yang dianggap paling kuat, bertaring, diramal bakal membawa piala menjelang Anugerah Oscar 2026. Dengan 16 pencalonan, Sinners menjadi naskhah paling banyak mencuri tumpuan apalagi belum pernah ada mana-mana filem yang membolosi pencalonan sebanyak itu sepanjang sejarah pembabitan anugerah berprestij tersebut.
Walaupun belum pasti berapakah piala yang bakal diperoleh Sinners, namun memecahkan rekod yang belum pernah digengam mana-mana pembikin filem sudah terasa sebagai kejayaan besar buat Ryan Coogler yang juga penulis, pengarah dan penerbit bersama naskhah ini.
Sinners membawakan latar 30-an, yang tidak mengada-ngada kerana pada ketika itu Amerika Syarikat kuat mengamalkan sistem kostum Jim Crow yang membezakan antara kulit putih dan gelap (sesuai nama yang dikutip daripada persembahan hiburan pentas abad ke-19, dilakonkan orang kulit putih untuk mengejek orang kulit gelap).

Filem ini dibuka dengan adegan yang menggoda dan mengesankan, Sammie Moore dengan wajah berparut, tubuh berlumur darah dan kepala gitar di tangan berjalan masuk ke gereja putih ayahnya. Berjalan longlai ke altar sebelum diraih bapanya yang tahu anaknya sedang dalam ketakutan besar.
Apa jadi? Persoalan itu kemudian membawa kita berpatah balik ke belakang, mengundur masa untuk memahami apa yang dihadapi Sammie, anak paderi bersuara lunak dan mahir memainkan muzik Blues.
Ketika itulah kita mula mengenali Smoke dan Stack, dalam filem ini merupakan adik-beradik yang mahu pulang ke desa halaman di Mississippi untuk membuka juke point, iaitu tempat berhibur orang kulit gelap yang popular pada era itu.
Smoke dan Stack masing-masing bekas askar yang berjuang di Perang Dunia Pertama, selepas tamat berkhidmat mereka kemudian bekerja untuk Al Capone, kumpulan gengster popular dan paling digeruni di Amerika Syarikat ketika itu. Mereka menyeludup arak, sebab itulah mereka kaya.

Tapi logik juga dua-beradik (yang dilakonkan sangat cemerlang oleh Michael B. Jordan) ini kembali ke Mississippi pada 1931, sebab kalau ikut sejarah, waktu itu Al Capone sudah tumpas.
Bagi membuka juke point, mereka mulakan dengan membeli kilang papan dari Hogwood iaitu seorang lelaki kulit putih yang rasis dan gendut. Kemudian mereka merekrut beberapa kenalan untuk menghidupkan tempat itu baik sebagai pemuzik, penjaga pintu dan tukang masak. Sammie menjadi salah seorang daripada pemuzik itu.
Sebenarnya proses pembinaan karakter dalam Sinners berlangsung agak lama, mungkin naskhah ini mahu tunjukkan bagaimana kehidupan orang kulit hitam bekerja sebagai buruh dan peladang. Tapi bagi saya ia terlalu lambat kerana rasa seronok filem ini hanya bermula selepas 45 minit naskhah ini berjalan.
Alih-alih filem ini masuk pula kepada serangan pontianak, sebuah perubahan plot yang mengejutkan, tapi mengujakan pada masa sama. Kita sudah ada banyak sangat cerita tentang pontianak, tapi saya melihat Coogler mahu menjadikan Sinners pontianak miliknya dengan membawakan mitos yang tidak bertembung.

Pertama, mitos asal pontianak versi kulit putih; mereka kalah kepada matahari, panas dengan bawang putih, boleh membaca isi fikir manusia dan paling penting, hanya akan masuk apabila dijemput.
Sinners juga membawakan mitos griot dalam kepercayaan masyarakat Afrika bahawa ada pemuzik yang memiliki peranan besar sebagai penyampai budaya. Mereka terlalu sakti sampai dikatakan boleh menghubungkan alam dan menyelamatkan orang-orangnya tapi pada masa yang sama boleh mengundang bala.
Sammie adalah orang itu, bagaimana anak seorang paderi memberontak mahu menjadi pemuzik Blues, yang ketika itu dianggap bertentangan dengan ajaran gereja. Memetik ayat paderi, ‘jika kau menari dengan syaitan, hujung hari dia akan mengikutmu pulang’.
Pontianak akan menyakinkan bahawa anda sebahagian daripada mereka. Warna kulit bukan isunya. Mereka akan menawarkan dua syiling emas dan anda hanya perlu membenarkan mereka masuk. Kalau difikir-fikir ia sebuah gerak kolonial apalagi juke point adalah satu-satunya tempat selamat untuk orang kulit hitam.
Namun menghampiri penghujung, kita mula sedar Sinners menyindir pengkhianatan lebih besar, pontianak adalah sekadar senjata kerana Hogwood dan konconya sudah tahu juke point ini hanya akan bertahan semalaman. Smoke membuang tangkal pemberian Anne, memakai semula loket askarnya kerana tahu syaitan sebenar yang dihadapinya adalah sistem yang selalu memenangkan orang-orang kulit putih.
Bagaimanapun saya masih merasakan penutup filem ini masih sedikit aneh kerana sebenarnya sudah memadai di gereja tanpa perlu ditunjukkan apa yang terjadi kepada Sammie beberapa tahun selepas itu. Tapi mungkin pengarah mempunyai visi berbeza menunjukkan Sammie sama seperti yang diramal mitos Afrika, membuktikan muziknya bernyawa merentas masa.










